IWK nafi pelepasan efluen loji punca Sungai Gong hitam

Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK)
Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) menegaskan kejadian air hitam di Sungai Gong, Rawang dekat sini semalam bukan berpunca daripada pelepasan efluen Loji Rawatan Kumbahan Rawang Integrated Industrial Park (GBK134).

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, petugas IWK di loji terbabit sudah mengenal pasti kemasukan buangan bukan kumbahan berwarna kuning ke dalam kebuk masuk loji yang mengakibatkan efluen di peringkat proses akhir tercemar.

Justeru katanya, petugas IWK terus menghentikan pelepasan discaj efluen dan operasi pembersihan segera dilaksanakan dan akan siap sepenuhnya hari ini.

"Loji ini adalah 'Oxidation Ditch (OD) Plant' yang bersambung kepada 11,106 penduduk setara, yang hanya meliputi kawasan perindustrian," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerja-kerja dos bahan kimia dilakukan bagi mengawal keadaan dan lokasi itu kini dalam pemantauan.

"Kami mengesyaki terdapat pembuangan sisa secara haram dan bahan terbabit mengalir ke dalam loji,” katanya.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam satu kenyataan semalam melaporkan air Sungai Gong menjadi hitam tetapi tiada bau dan disyaki disebabkan pewarna.

LUAS turut memaklumkan terdapat pelepasan efluen dari loji IWK yang berbuih dan berwarna.

Artikel Berkaitan:

Narendran berkata, kenyataan tersebut akan mengelirukan orang awam yang menuding jari kepada IWK walaupun punca sebenar disebabkan pembuangan sisa secara haram.

Tambahnya, loji rawatan air kumbahan bertujuan merawat air sahaja tetapi bukan bahan kimia atau sisa lain yang dilepaskan ke dalam jajaran paip pembetungan.

"IWK kecewa kerana sering menjadi sasaran mudah kepada sebarang kejadian pencemaran air tanpa melaporkan maklumat secara menyeluruh," katanya.

Jelasnya, IWK sentiasa memastikan kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan di semua 7,000 buah loji dibawah selian IWK sentiasa mengikut spesifikasi serta prosedur yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

"Pembuangan sisa haram bukan kumbahan satu kesalahan menurut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006)," katanya.