Fenomena air pasang besar: APM tubuhkan pasukan khas

A
A
A

KUALA LANGAT - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menubuhkan pasukan penyelamat pantai dan pemantau di Pantai Morib dan Kelanang di sini sebagai persediaan menghadapi fenomena air pasang besar.

Pegawai APM Kuala Langat, Kapten (PA) Riduan Nordin berkata, empat pasukan khas telah ditubuhkan terdiri daripada dua pasukan penyelamat pantai dan dua pasukan pemantau benteng.

"Untuk APM Kuala Langat, kita sudah bersiap sedia sejak Khamis lalu dengan menempatkan semua petugas selama 24 jam sepanjang pesisiran pantai.

"Malah aset terdiri daripada empat buah bot serta dua kenderaan juga telah ditempatkan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata,kawasan Pantai Morib dan Kelanang telah ditutup kepada orang awam.

Menurutnya, setakat hari ini, paras ketinggian air direkodkan mencecah 5.3 meter.

ARTIKEL BERKAITAN: Fenomena air pasang besar: Empat rumah terjejas

Fenomena air pasang besar terkawal

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, lapan lokasi yang dipantau iaitu Pantai Morib, Pantai baru Morib, Pantai Kelanang, Istana Pantai Bahagia, Pantai Cunang, Ban Kampung Tongkah, Ban Pantai Kelanang dan Ban Kampung Sawah.

"Pemantauan mendapati keadaan di semua lokasi itu terkawal dan tiada limpahan air. Bagaimanapun, polis mengingatkan penduduk sekitar supaya berhati-hati dengan fenomena air pasang besar yang akan berlaku selama dua hari pada hari ini dan esok.

"Pihak Jabatan Penerangan Daerah juga telah membuat hebahan supaya orang ramai tidak menghampiri pantai begitu juga dengan nelayan agar tidak mengambil risiko dengan keluar ke laut sepanjang tempoh ini," katanya.

Katanya, setakat ini dua pusat pemindahan telah dibuka di Kelanang dan Tanjung Sepat jika berlaku banjir.

"Orang ramai diminta untuk berhubung dengan polis atau pihak berkaitan jika terkesan situasi air melimpah pada tahap yang luar biasa," katanya.