PRN Sabah: Empat pasukan pemantau diwujudkan di ESSZone

Ahmad Fuad pada temu ramah eksklusif bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini. -Foto: Bernama
Ahmad Fuad pada temu ramah eksklusif bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini. -Foto: Bernama
A
A
A

LAHAD DATU - Pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mewujudkan empat pasukan pemantauan bagi mengawal kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) dalam usaha menjaga keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Komander ESSCom, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, pasukan berkenaan akan berpangkalan di empat lokasi utama iaitu Kudat, Lahad Datu, Sandakan dan Semporna.

Menurutnya, pasukan Kudat akan mengawal kawasan di Kudat, Kota Marudu dan Pitas, pasukan Sandakan bagi Sandakan dan Beluran, pasukan Lahad Datu mengawal Lahad Datu, Kunak dan Tungku manakala pasukan Semporna bagi kawasan Semporna, Tawau dan Kalabakan.

“Kita akan memantau dan membantu Pesuruhjaya Polis Sabah kalau ada elemen-elemen yang boleh mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam di negeri Sabah.

“Kita mahu PRN kali ini berjalan lancar,” katanya kepada Bernama di Ibu Pejabat ESScom di sini baru-baru ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September sebagai tarikh pengundian PRN itu, manakala pengundian awal pada 22 September ini.

Ahmad Fuad berkata, rakyat di negeri itu khususnya di pantai timur tidak perlu bimbang untuk keluar mengundi dan mereka diminta supaya tidak percaya khabar angin kononnya terdapat ancaman luar seperti penculikan pada hari mengundi kerana pihaknya sentiasa melakukan kawalan ketat.

“Kita nak orang keluar seperti biasa, kita memang sudah jaga kawasan ini dengan baik dan kita pantau daripada mula, jadi tidak perlu dengar khabar angin mengatakan tidak selamat kerana ia hanya memburukkan lagi suasana.

Artikel Berkaitan:

“Sokong pada demokrasi dan keluarlah mengundi,” katanya.

Sebanyak 1.12 juta pengundi layak mengundi dalam PRN Sabah kali ini.- Bernama