Mangsa kemalangan bukan pelancong tapi...

No Image Caption
A
A
A

MELAKA TENGAH - Polis mengesahkan lelaki warga Perancis yang maut dalam kemalangan di Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya, semalam, bukan pelancong namun bekerja di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, mangsa, Maurice Tatarian, 64, bekerja dengan syarikat Perunding Siemens France di Sungai Udang dan berada di negeri ini sejak 14 Januari lalu sebelum dijangka pulang ke negaranya pada 31 Januari lalu.

“Selama berada di negeri ini mangsa menginap di sebuah hotel di bandar Melaka dan polis sudah menghubungi pihak kedutaan Perancis dan mereka akan menghantar wakil bagi menuntut jenazah di Hospital Melaka, hari ini.

“Keluarga mangsa juga dimaklumkan mengenai kejadian ini, namun kita belum terima maklumat lanjut mengenai urusan membawa pulang mayat mangsa. Keputusan bedah siasat juga masih belum diperoleh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, pemandu kereta Honda Jazz berusia 27 tahun itu ditahan manakala pemandu BMW diberi jaminan polis bagi mendapat rawatan di hospital.

“Bagaimanapun kes masih lagi disiasat di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Semalam Sinar Harian menyiarkan seorang pelancong maut dirempuh kereta dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan dan seorang pejalan kaki di Jalan Melaka Raya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, mangsa Tatarian Maurice, 64, berasal dari Perancis, dipercayai berjalan kaki untuk melintas persimpangan Jalan Melaka Raya 12, sebelum dirempuh kereta BMW yang dipercayai hilang kawalan selepas bertembung dengan kereta Honda.

Artikel Berkaitan: