Belum ada pusat pemindahan banjir dibuka

Tembok di Pantai Morib yang dipercayai runtuh akibat kejadian air pasang. - Foto Urusetia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Langat
Tembok di Pantai Morib yang dipercayai runtuh akibat kejadian air pasang. - Foto Urusetia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Langat
A
A
A

KUALA LANGAT - Belum ada pusat pemindahan banjir di daerah Kuala Langat dibuka susulan fenomena air pasang besar yang dijangka bermula hari ini hingga Ahad.

Urusetia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Langat memaklumkan, tinjauan di sepanjang pantai daerah Kuala Langat pada pagi ini mendapati keadaan masih dalam keadaan terkawal.

"Cuma ada satu tembok di Pantai Morib runtuh tapi kurang pasti waktu tepat kejadian namun dipercayai ada kaitan dengan hakisan disebabkan air pasang. Laporan berhubung kejadian itu telah dibuat untuk tindakan lanjut.

"Di Kuala Langat kami sediakan dua pusat pemindahan iaitu di dewan orang ramai Kampung Kelanang dan Sri Kundang sebagai persediaan menghadapi fenomena air pasang besar ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Katanya, walaupun fenomena air pasang besar berlaku setiap tahun namun meramalkan keadaan tahun ini lebih buruk susulan bacaan paras laut diramalkan mencecah sehingga 4.7 meter bagi daerah Kuala Langat.

"Berbanding tahun lepas dan sebelumnya, bacaannya adalah di bawah paras 4.4 meter yang keadaan tersebut tidak memberikan kesan yang besar terhadap banjir. Namun tahun ini bacaan di Kuala Langat dijangka mencecah ketinggian 4. 7 meter sementara Klang 5. 8 meter.

" Jika hujan lebat dan angin kencang berlaku dengan keadaan ombak yang besar dijangka banjir kilat boleh berlaku, " katanya.

Terdahulu, Unit Pengurusan Bencana Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dalam satu kenyataan dikeluarkan pada 3 September lalu memaklumkan fenomena air laut pasang besar diramalkan berlaku bermula bulan ini hingga November di daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Artikel Berkaitan:

Keadaan itu dijangka berlaku pada 19 September hingga 20 September dengan ketinggian paras air laut sehingga 5.7 meter, disusuli 17 hingga 19 Oktober (5.8 meter) dan 15 hingga 16 November (5.6 meter).

Penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan mematuhi arahan pihak berkuasa keselamatan dari masa ke masa selain mengehadkan aktiviti rekreasi di pesisiran pantai sepanjang tempoh itu.