Covid-19: Kluster Selamat diisytiharkan di Sabah

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto: Bernama
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kluster Selamat diisytiharkan sebagai kluster terbaharu di Sabah dengan dua individu disahkan positif koronavirus (Covid-19).

Ia sekali gus menjadikan kluster keempat di negeri itu selepas Kluster Benteng LD, Laut dan Pulau.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, kluster tersebut membabitkan dua individu termasuk seorang pegawai perubatan hospital yang merawat kes indeks iaitu seorang wanita berusia 32 tahun yang dimasukkan ke Hospital Tawau bagi kelahiran pramatang.

"Wanita tersebut disahkan positif Covid-19 ketika saringan kemasukan ke hospital berkenaan.

"Hasil saringan yang dijalankan telah mengesan seorang pegawai perubatan yang merawat pesakit berkenaan turut dijangkiti Covid-19," katanya.

Beliau berkata, sehingga 17 September, sejumlah 118 individu telah disaring dalam kluster berkenaan.

"Selain dua disahkan positif, 116 individu masih menunggu keputusan," kata beliau lagi.

Menurutnya, langkah pencegahan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan pembersihan telah dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti.

Artikel Berkaitan:

"Punca jangkitan masih dalam siasatan dan aktiviti mengawal penularan jangkitan bagi kluster ini giat dijalankan di lapangan," katanya.