Mayat dalam beg ditemui dalam kereta terbakar

Anggota bomba yang memadam kebakaran sebuah kereta menemui sebuah beg hitam yang berisi mayat lelaki tanpa identiti di Kawasan Perindustrian Ringan Pulau Sebang di sini, awal pagi tadi.
Anggota bomba yang memadam kebakaran sebuah kereta menemui sebuah beg hitam yang berisi mayat lelaki tanpa identiti di Kawasan Perindustrian Ringan Pulau Sebang di sini, awal pagi tadi.
A
A
A

ALOR GAJAH - Sebuah kereta yang terbakar di Kawasan Perindustrian Ringan Kuala Ina, Pulau Sebang di sini pagi tadi membongkar penemuan sebuah beg hitam berisi mayat dalam kenderaan itu.

Mayat lelaki tanpa identiti itu ditemui pasukan Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Alor Gajah dan Tampin, Negeri Sembilan ketika melakukan kerja-kerja memadam kebakaran kereta Honda Civic Ferio di hadapan sebuah bengkel kenderaan lebih kurang jam 7.25 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, pemeriksaan lanjut oleh anggota bomba ke atas kenderaan terbabit selepas pemadaman menemui beg hitam di bahagian tempat duduk belakang.

Kereta Honda Civic Ferio yang terbakar dan terdapat beg hitam berisi mayat yang diletakkan di tempat duduk belakang.
Kereta Honda Civic Ferio yang terbakar dan terdapat beg hitam berisi mayat yang diletakkan di tempat duduk belakang.

"Mereka mengesyaki beg terbabit mengandungi mayat manusia lalu menghubungi Balai Polis Pulau Sebang. Setakat ini kita belum mengenal pasti identitinya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Nor Yhazid berkata, pemilik bengkel memaklumkan kereta terbabit mengalami kerosakan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Ayer Keroh kira-kira jam 4 petang Selasa lalu sebelum dia bersama seorang pekerjanya menggunakan trak tunda untuk membawa kenderaan itu ke bengkel.

Bagaimanapun menurutnya, individu itu tidak mahu membuat pembayaran selepas menggunakan perkhidmatan trak tunda kenderaan tersebut diletakkan di hadapan bengkel.

"Pekerja bengkel ada memaklumkan mengenai beg besar berwarna hitam tetapi beliau tidak mengesyaki sesuatu yang pelik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hopsital Alor Gajah bagi mengenal pasti identiti mangsa.