X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan perlekeh orang muda

A
A

AKHIR-akhir ini, perbualan warganet banyak berkisar tentang kedudukan anak muda dalam negara. Antara sebab diskusi itu menjadi hangat adalah kerana Veveonah Mosibin, mahasiswa yang menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Sebelum ini pada bulan Jun, Veveonah menjadi tular apabila dia memanjat pokok untuk mendapat liputan internet yang stabil bagi menduduki peperiksaannya.

Video Veveonah berjaya membawa perhatian negara kepada isu liputan internet di kawasannya yang begitu teruk.

Tindakan Veveonah itu telah mendorong syarikat telekomunikasi seperti Telekom Malaysia untuk menambah baik kelajuan internet di Pitas, Sabah dan kawasan berdekatan.

Kita semua ingat isu tersebut sudah selesai, namun pada awal bulan ini, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, semasa menjawab pertanyaan dalam Sidang Dewan Negara mendakwa bahawa Veveonah telah menipu semua orang dengan videonya.

Menurut Zahidi, pihaknya mendapati bahawa tiada peperiksaan yang dijalankan seperti yang dipaparkan dalam video Veveonah.

Dakwaan itu disangkal oleh warganet hampir serta-merta apabila berita tentangnya disiarkan.

Antaranya, batchmate Veveonah sendiri telah berciap untuk mengesahkan bahawa sememangnya Veveonah ada menduduki peperiksaan pada masa video tersebut disiarkan.

Timbalan Menteri tersebut kemudian memohon maaf tentang dakwaannya. Rupa-rupanya, beliau telah diberi maklumat yang salah oleh Ahli Parlimen Kudat dan merangkap Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri, wakil rakyat di kawasan Veveonah.

Tetapi episod ini tidak berakhir di situ. Abd Rahim pula memuat naik status di Facebook, masih mendakwa bahawa Veveonah berbohong mengenai peperiksaannya.

Apa yang lebih memburukkan keadaan, beliau berkata, beliau ‘tidak menyalahkan anak muda yang buat kesilapan’, kerana beliau ‘berjiwa besar’.

Abd Rahim akhirnya memadam statusnya selepas mendapat kecaman warganet. Tetapi sehingga kini, beliau tidak meminta maaf kepada Veveonah.

Namun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah pun berjumpa dengan Veveonah sendiri dan meminta maaf bagi pihak kerajaan.

Malah, pada minggu lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menjemput Veveonah dan ibu bapanya untuk makan malam bersama seperti yang dimuat naik di Instagram milik gadis itu, vevemacho.

Perlekeh

Namun episod Veveonah itu menunjukkan bahawa pemimpin politik di Malaysia ini kebanyakannya tidak menghormati orang muda.

Mereka melihat orang muda dengan prejudis dan sangsi serta begitu senang memperlekehkan tindakan dan kelakuan mereka.

Lihat sahaja apa yang berlaku di Dewan Rakyat semasa sidang Parlimen yang lepas.

Beberapa kali semasa mantan Menteri Belia dan Sukan dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berucap, beliau akan diganggu dan disindir oleh ahli-ahli Parlimen daripada pihak kerajaan.

Mereka langsung tidak menghormati Syed Saddiq walaupun beliau ahli Parlimen dan mantan Menteri.

Atas sebab itu, cakap-cakap tentang penubuhan parti politik anak muda makin mendapat sambutan, lebih-lebih lagi daripada anak muda.

Sokongan kepada parti anak muda ini adalah suatu penolakan kepada cara politik lama yang mementingkan senioriti dan hierarki.

Sokongan itu juga adalah reaksi kepada orang seperti Zahidi dan Abd Rahim yang melayan orang muda bagaikan mereka picisan.

Jangan memperlekehkan orang muda. Jika amarah anak muda ini tidak ditangani dengan baik oleh pemimpin politik kita, ia mungkin sekali akan menggoncang senario politik tanah air.

* Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!