Janji akhir zaman semakin nyata

No Image Caption
A
A
A

SEHARI sebelum sambutan Hari Malaysia, umat Islam di negara ini dan di seluruh dunia terpaksa menerima tamparan hebat apabila pemimpin dua kerajaan Arab bertindak merasmikan hubungan diplomatik dengan rejim haram Zionis Israel.

Dalam sesi yang dikenali sebagai ‘Abraham Accord’ itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Menteri Luar Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Abdullah bin Zayed al Nahyan, dan Menteri Luar Bahrain, Abdullatif al Zayani telah menandatangani normalisasi hubungan diplomatik pada majlis ‘bersejarah’ di Rumah Putih tajaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Ternyata hari ini isu penjajahan Zionis ke atas bumi Palestin dan tempat suci ketiga umat Islam sejak berdekad lamanya bukanlah masalah besar bagi pemimpin UAE dan Bahrain.

Mereka lebih utamakan restu Washington dan reda Tel Aviv. UAE lebih berminat mengampu Amerika untuk membeli pesawat pejuang F-35 biarpun masih dibantah Israel.

Bahrain lebih takutkan Iran – sepertimana majoriti rakyatnya sendiri – yang berpegang dengan doktrin Syiah, berbanding murka ALLAH kepada hamba yang bersekongkol dengan pembunuh dan penjajah saudara Islam mereka sendiri.

Pemimpin UAE dan Bahrain tentunya mengetahui apa yang terjadi kepada Palestin selepas menandatangani Perjanjian Oslo pada tahun 1993. Janji keamanan hanyalah helah Zionis untuk menjinakkan pemimpin Arab yang buta percaturan geopolitik: Gaza terus dikepung, Tebing Barat tidak pernah aman dan stabil untuk jangka masa yang lama.

Pemimpin UAE dan Bahrain tidak buta dan tidak tuli. Tetapi ternyata mereka sengaja membutakan mata dan memekakkan telinga.

Sepertimana Fatah dahulu dicucuk hidung untuk melaga-lagakan umat Islam dengan Islamis Hamas, begitulah UAE dan Bahrain saat ini yang lebih takutkan pengaruh Ikhwan Muslimin, Turki dan Iran. UAE dan Bahrain kini merupakan negara Arab ketiga dan keempat yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel selepas Mesir pada 1979 dan Jordan pada 1994. Tanpa berselindung, Netanyahu menyatakan bahawa negara Arab lain bakal mengikut jejak langkah UAE, Bahrain, Mesir dan Jordan mengiktiraf rejim Zionis itu.

Artikel Berkaitan:

Sokongan

Bagi Donald Trump, peristiwa 15 September ini tentulah bakal melonjakkan sokongan kepada beliau menjelang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada 3 November ini – khususnya dalam kalangan pengundi Evangelis Kristian pro-Israel. Kelegaan sama juga pastinya dirasai Netanyahu – sepertimana Trump di Amerika, Netanyahu turut berhadapan tekanan politik domestik susulan dakwaan rasuah dan cara pengurusan pandemik Covid-19 di Israel.

Keangkuhan Trump dengan ‘kejayaan’ beliau menjadi broker normalisasi UAE-Bahrain-Israel ini bahkan terserlah dengan seruan kepada Palestin supaya turut mengiktiraf Israel atau ‘ketinggalan sendirian’.

Setakat ini, Trump telah melakar pelbagai siri ‘kejayaan’ besar bagi penyokong Zionis; pada tahun 2017, AS bertindak mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan kemudiannya memindahkan Kedutaan AS ke sana.

Awal tahun ini pula, Trump mengiktiraf peta Israel di bawah pelan Deal of the Century – tindakan yang kemudiannya mengundang respons balas Palestin dengan memansuhkan keseluruhan perjanjian dengan AS dan Israel.

Hakikatnya, kita tidak perlu berputus asa dengan janji ALLAH jika seluruh pemimpin dunia Arab bertindak meninggalkan Palestin bersendirian dan menjalinkan hubungan dengan Israel.

Malah, segala yang terjadi hari ini sebenarnya menepati janji-NYA bahawa menjelang akhir zaman kelak, Yahudi akan berkuasa di Asia Barat – dengan kemuncaknya Dajjal akan muncul beraja. Begitulah hampirnya analogi tindakan UAE dan Bahrain yang melihat tindakan menjalin hubungan dengan rejim Zionis sebagai ‘syurga’, manakala perjuangan membela maruah dan hak Palestin ibarat ‘neraka’.

Maka kita sebagai umat Islam yang beriman tidak perlu bersedih. Sebaliknya, kita wajib berpegang teguh dengan ijmak para ulama dalam memacu dasar politik mahupun geopolitik kita. Bersediakah kita?

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda