X

Kindly register in order to view this article
!

Tular perintah berkurung 24 jam takutkan rakyat Sabah

Tular mesej berhubung perintah berkurung di ESSZone di aplikasi WhatsApp baru-baru ini.
A
A

KOTA KINABALU - Mesej yang tersebar menerusi aplikasi WhatsApp berhubung perintah berkurung 24 jam di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) boleh menakutkan rakyat Sabah terutama ketika proses Pilihan Raya Negeri (PRN) sedang berlangsung.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, baru-baru ini tular isu berkaitan maksud perintah berkurung 24 jam yang dikenakan di kawasan tersebut sehingga menyebabkan pelbagai ulasan yang tidak benar berkaitan dengannya.

"Tafsiran yang tidak betul ini adalah tidak bertanggungjawab dan boleh menakutkan rakyat terutama ketika proses PRN Sabah sedang berlangsung sekarang.

"Susulan dari isu ini, PDRM menafikan bahawa dakwaan yang tidak benar yang telah ditularkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hazani berkata, arahan perintah berkurung yang sedang berkuat kuasa kini bermula 2 hingga 17 September ini.

"Mengikut peruntukan di bawah Akta Polis 1967, Pesuruhjaya Polis boleh mengisytiharkan perintah berkurung untuk tempoh selama 24 jam dan perintah ini dilanjutkan oleh menteri selama tempoh 14 hari.

"Bagaimanapun, akta ini juga memberi kuasa kepada Pesuruhjaya Polis untuk memberi kelonggaran terhadap perintah yang dikenakan dan melalui perintah ini, kawasan yang dikenakan perintah adalah kawasan laut antara tiga batu nautika dari pantai sehingga ke sempadan perairan antarabangsa," katanya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, masa yang dikuatkuasakan untuk perintah berkenaan adalah dari jam 6 petang hingga 6 pagi sahaja.

"Dari jam 6 pagi hingga 6 petang adalah dikecualikan dari perintah berkurung dan boleh dimasuki atau dilalui oleh semua orang.

"Kawasan laut dari pesisir pantai hingga ke jarak tiga batu nautika adalah dikecualikan sepenuhnya dari perintah berkurung," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!