Calon Exco Selangor: Borhan, Zawawi enggan ulas lanjut

BORHAN, MOHD ZAWAWI
BORHAN, MOHD ZAWAWI
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi nama mereka dicalonkan sebagai Exco Kerajaan Selangor.

Menurut Borhan, beliau tidak mahu memberikan sebarang komen lanjut berhubung perkara itu sehingga sebarang pengumuman dibuat oleh pihak Istana Selangor.

"Nanti dululah. Saya tak nak beri sebarang komen lagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, Mohd Zawawi turut dilihat senada dengan Borhan dan tidak mahu memberikan sebarang kenyataan berikutan dibimbangi mendahului pihak istana.

Beliau berkata, sesiapa sahaja calon yang dipilih, pimpinan kerajaan negeri perlu bekerja secara berpasukan bagi mengukuhkan pentadbiran demi mengutamakan rakyat di negeri ini.

"Walau siapa pun calon, kami semua sedia untuk bantu bagi memajukan Selangor terutama dengan cabaran sedia ada kini," katanya.

Sebelum ini, terdapat khabar angin nama Borhan dan Mohd Zawawi bakal diangkat bagi mengisi kekosongan jawatan Exco di dalam pentadbiran Kerajaan Selangor.

Setakat ini, tiga portfolio Exco melibatkan Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan; Perumahan dan Kehidupan Bandar; dan Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan masih kosong dan belum diisi oleh mana-mana calon.

Artikel Berkaitan:

Jawatan Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor yang sebelum ini disandang ADUN Lembah Jaya, Haniza Mohd Talha telah dikosongkan selepas beliau dikenakan tindakan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Selain kekosongan itu, portfolio Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan disandang ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari turut dikosongkan selepas beliau melepaskan jawatan itu susulan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak lagi menjadi sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan (PH).

Portfolio Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan pula kosong selepas penyandangnya, Profesor Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia akibat kanser usus pada 2018.