X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD: Tambah peruntukan jika bantuan RM1 juta tidak cukup

Muhammad Sanusi Md Nor
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan menyediakan peruntukan tambahan sekiranya bantuan bekalan makanan sebanyak RM1 juta yang diumumkan semalam bagi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Kota Setar tidak mencukupi.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peruntukan berkenaan adalah daripada dana kerajaan negeri walaupun mempunyai keupayaan kewangan yang sangat terhad.

Malah, katanya, Kedah belum menerima peruntukan daripada kerajaan Persekutuan khusus untuk membantu penduduk daerah Kota Setar yang terjejas akibat Covid-19 sebagaimana ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara pada Mac hingga Mei lalu.

"Apabila kerajaan negeri mengumumkan peruntukan awal RM1 juta untuk membantu penduduk yang terputus bekalan makanan, ada pihak mempersoalkan adakah peruntukan sebanyak itu mencukupi untuk keseluruhan 366,787 penduduk daerah berkenaan.

"Ingin dijelaskan bahawa RM1 juta itu ialah peruntukan awal. Jika perlu ditambah, kerajaan negeri akan sediakan peruntukan tambahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri mengambil kira beberapa aspek termasuk bilangan 5,600 penduduk daerah Kota Setar merupakan penerima bantuan tetap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala sekitar 400 orang penerima bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA).

"Mereka ini dikira tidak termasuk dalam kategori penduduk yang berkemungkinan terputus bekalan makanan dalam situasi PKPD ini.

"Peruntukan ini adalah untuk membantu penduduk yang benar-benar terputus bekalan makanan, bukan kepada semua 366,787 penduduk daerah Kota Setar," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!