Pajak lesen syarikat keselamatan untuk untung mudah

MUSA HASSAN
MUSA HASSAN
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Tindakan sebahagian besar pemilik syarikat pengawal keselamatan di negara ini dipercayai memajakkan lesen perkhidmatannya kepada pihak ketiga perlu ditangani segera kerajaan.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, perbuatan itu jelas boleh mendatangkan risiko yang lebih tinggi kepada industri keselamatan sekiranya dibiarkan berlarutan.

"Mereka membuat untung mudah tanpa menjalankan perniagaan secara sendiri, sebaliknya menyewakan lesen kepada pihak lain untuk melakukan penugasan kawal keselamatan.

"Malahan, ada yang melakukan 'sewa atas sewa' hinggakan majikan menggajikan pekerja pada tahap paling minimum. Ini membuatkan kualiti kawalan keselamatan rendah ketika melaksanakan tugasan," katanya selepas Mesyuarat Agung Pertama Persatuan Industri Keselamatan Selangor & Wilayah Persekutuan (SWISS) hari ini.

Dalam pada itu Musa berkata, kualiti pemilihan pengawal keselamatan juga tidak dilaksanakan mengikut kriteria-kriteria tertentu.

"Ada yang tangkap muat, termasuk ambil warga asing selain daripada yang dibenarkan kerajaan iaitu warganegara Nepal.

"Malahan, terdapat daripada syarikat mengabaikan tapisan keselamatan sebelum mengambil mereka sebagai pekerja," katanya.

Mengulas lanjut, Musa yang dilantik sebagai pengerusi SWISS buat kali pertama berkata, penubuhan pertubuhan ini bukan untuk bersaing dengan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) tetapi membantu entiti itu untuk memartabatkan lagi industri keselamatan negara.

Artikel Berkaitan:

"SWISS juga akan memperkenalkan teknologi dan inovasi keselamatan selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan memberikan pendidikan serta latihan berterusan.

"Dalam masa sama juga, SWISS akan menekan ciri-ciri kepimpinan untuk pengawal keselamatan agar lebih berdaya saing," katanya.