Kenali, fahami budaya pelbagai etnik dalam negara

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

SIBU - Seluruh rakyat Malaysia digesa mengenali dan memahami dengan mendalam budaya pelbagai etnik dalam negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, gesaan itu bertujuan memupuk kefahaman yang lebih mendalam dalam kalangan rakyat di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak berhubung kekayaan kebudayaan rakyat Malaysia.

“Kita mahu meraikan kekayaan kebudayaan kita, dan salah satu daripada aspek kekayaan budaya adalah seni budaya peribumi.

“Sebagai contoh, dalam seni muzik Sarawak ada seni muzik sape dan Sabah ada seni muzik sundatang dan ini tidak begitu dikenali rakyat Malaysia di Semenanjung, sedangkan ia adalah ciri-ciri kekayaan budaya di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sejurus sebelum menyaksikan raptai penuh sambutan Hari Malaysia 2020 di Stadium Tertutup Sibu di Jalan Lapangan Terbang Lama di sini hari ini.

Merujuk kepada sambutan dengan tema #MalaysiaPrihatin itu, Saifuddin berkata, sungguhpun semangat sambutan kekal seperti sebelumnya, namun fokus kali ini sedikit berbeza.

"Semasa negara masih bergelut memerangi pandemik Covid-19, wira baharu muncul dalam bentuk petugas barisan hadapan yang terdiri daripada para doktor, jururawat, petugas hospital, polis, tentera dan wartawan.

“Mereka berbakti, berkorban, malah ada yang terkorban. Kita amat berbangga dengan patriot kita,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin kemudiannya memohon maaf kepada penduduk Sibu kerana tidak dapat menjadikan sambutan Hari Malaysia sebagai sambutan besar-besaran kerana terpaksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan bagi membendung penularan Covid-19.

Bagaimanapun, beliau menjemput mereka beramai-ramai untuk menonton acara sambutan itu menerusi siaran secara langsung RTM1 dan live streaming di Facebook TVSarawak.

Turut hadir tinjauan malam ini adalah Menteri Utiliti Sarawak, Datuk Seri Stephen Rundi Utom yang juga pengerusi bersama penganjuran majlis sambutan itu. - Bernama