Dunia ini medan ujian

No Image Caption
A
A
A

SETIAP daripada kita pasti akan diuji. Ujian yang kita hadapi mungkin sama, mungkin berbeza. Tidak kira siapa kita; miskin atau kaya, golongan bangsawan atau rakyat jelata, pasti ada ujiannya. Setiap ujian yang dihadapi dalam hidup ini seharusnya menjadikan kita lebih kuat, tabah, dan lebih dekat dengan tuhan.

Ada yang sampai tertanya-tanya, “Kenapa ALLAH uji saya sampai macam ni sekali? Apa salah saya?” Ada juga yang rasa seolah-olah tiada harapan untuk keluar daripada ujian yang dihadapi dan tidak mampu lagi untuk menghadapinya.

Sepanjang saya berada di lapangan dan berinteraksi dengan anggota masyarakat, memang pelbagai masalah dan ragam yang saya jumpa. Ada yang teraniaya, didera pasangan sama ada secara fizikal atau mental, terperangkap bertahun-tahun lamanya dan akhirnya terpaksa mendapat rawatan psikiatri di hospital.

Ada pula yang diuji dengan kemalangan jalan raya hingga hilang anggota badan dan menjadi cacat seumur hidup. Umur masih muda dan mempunyai tanggungan yang masih kecil. Ada yang aktif bersukan tetapi diserang angin ahmar dan terlantar di atas katil tidak dapat berbuat apa-apa. Rawatan terapi fisio berjaya menguatkan kembali anggota badan tetapi tidak pulih seperti sediakala.

Ada yang diuji dengan penyakit kanser, penyakit yang bukan calang-calang. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Ada orang pula diuji dengan pemergian anak yang disayangi buat selama-lamanya. Siapa sangka, anak yang diharap doanya dan diharap mengurus jenazah ibu bapa ditakdirkan pergi dahulu.

Ada antara mereka yang tertanya-tanya, “Kenapa mesti aku yang kena?”

Sebenarnya, ALLAH sudah memberitahu kita semua bahawa kita akan diuji berdasarkan apa yang kita mampu, sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Baqarah, ayat 286 yang bermaksud:

Artikel Berkaitan:

“ALLAH tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”

Dalam hidup ini, ALLAH akan datangkan ujian berdasarkan kapasiti kita masing-masing. Dia yang menciptakan kita, masakan Sang Pencipta tidak tahu tentang ciptaan-Nya. Kita sahaja yang tidak tahu betapa kuatnya diri sehingga kita diuji. Saat diri sendiri diuji, dirasakan itulah ujian paling berat di dunia. Hakikatnya, ada orang lain yang ujiannya berganda beratnya, tidak terbanding dengan apa yang kita hadapi.

Mungkin jika dilihat pada luaran, kita nampak ketenangan pada wajah mereka. Namun, dalam hati mereka, tiada siapa yang tahu.

Seorang doktor mungkin kelihatan tenang membantu pesakit sembuh sedangkan dia sendiri sedang bertarung dengan penyakit kanser. Seorang peguam syarie yang sedang membantu seorang isteri yang dianiaya suami mungkin menghadapi masalah yang sama seperti anak guamnya.

Saat kita diuji, pandanglah sekeliling. Kita akan sedar betapa ujian yang dikirim ALLAH SWT buat kita tidaklah sebesar mana. Boleh jadi, ujian itu adalah sebagai penghapus dosa. Boleh jadi juga, ALLAH mahu menaikkan darjat kita sebagai hamba-Nya jika kita bersabar dan reda dengan ujian tersebut.

Jangan sesekali menyesali apa yang telah berlaku. Ada kemanisan yang menanti bagi yang sabar. Mungkin cepat atau lambat sahaja. Bersyukurlah jika diuji dengan kepahitan, kesakitan, kesempitan dan apa sahaja yang dirasakan sebagai musibah kerana ia biasanya lebih mudah mendekatkan kita kepada ALLAH berbanding ujian kesenangan, kesihatan, kebahagiaan dan kemewahan.

Semoga kita semua dikurniakan kekuatan dan ketabahan iman dan takwa dalam mengharungi segala ujian yang telah ditentukan.

* Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan.