Ibu berkerusi roda naik Gunung Jerai sudah meninggal dunia

Kedua-dua beranak itu bergambar bersama salah seorang pendaki Gunung Jerai.
Kedua-dua beranak itu bergambar bersama salah seorang pendaki Gunung Jerai.
A
A
A

SUNGAI PETANI - "Bulan cerah putih, gagak makan padi, orang tua uban putih, galak dok kayuh lagi."

Itu antara bait-bait pantun mencuit hati yang masih segar dalam ingatan Ahmad Supri Jamaludin, 54, apabila ditanya mengenai pengalaman manis bersama ibunya, Mah Jusoh, 91, yang meninggal dunia pada 9 September lalu.

Kisah dua beranak itu tular di media sosial sejak Ogos lalu apabila tindakan Ahmad Supri menolak ibunya ke puncak Gunung Jerai menggunakan kerusi roda menarik perhatian ramai.

Bagaimanapun, Mah sudah meninggal dunia Rabu lalu selepas mengadu sukar tidur dan sakit perut.

Ketika dihubungi Sinar Harian, Ahmad Supri berkata, ibunya mula menunjukkan tanda sesak nafas dan sukar tidur setelah terjaga kira-kira jam 1 pagi.

"Dia mengadu sakit belakang dan tidak henti-henti bertanyakan tentang anak-anak, cucu serta ahli keluarga lain sehingga jam 4.30 pagi.

"Selepas itu, saya bersihkan najis dan mandikan mak sebelum bawa dia ke unit kecemasan Hospital Yan selepas subuh," katanya.

Menurutnya, ibunya itu mula mengadu sakit perut, namun keadaannya stabil membolehkan dia dihantar ke wad biasa pada jam 1 petang.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, kira-kira jam 3.30 petang, Mah disahkan telah menghembuskan nafas terakhir.

"Alhamdulillah, mak pergi dengan tenang dan selamat dikebumikan di Makam Syuhada, Padang Lumat, Yan Khamis lalu di mana turut menempatkan 27 jenazah pelajar perempuan Pondok Pakya yang meninggal dunia dalam tragedi kebakaran pada tahun 1988," katanya.

Ahmad Supri berkata, momen paling indah yang masih segar ketika bersama ibunya itu ialah ketika berbalas pantun.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Nekad bawa ibu lumpuh daki Gunung Jerai'

Ini kerana, katanya, ibunya itu gemar berpantun secara spontan termasuk ketika mahu meluahkan sesuatu atau mahu memberi teguran.

"Mak nak tegur saya yang selalu mengayuh basikal biarpun usia semakin meningkat tetapi mak sampaikan melalui pantun.

"Selain itu, sudah tentu saya rindukan momen kami bersama ketika menolak kerusi roda mak mendaki Gunung Jerai. Mak rajin bercerita tentang tumbuh-tumbuhan seperti khasiat dan kelebihan. Jadi masa kami terisi sepanjang perjalanan mendaki kerana ada saja yang mak nak kongsikan," katanya.

Ahmad Supri berkata, sekiranya diberi peluang mendaki sambil menolak kerusi roda selepas ini, sudah pasti pengalaman itu tidak sama dengan kenangan yang dicipta bersama ibunya.

Menurutnya, dia pernah berangan untuk mendukung ibunya menaiki pesawat sekiranya diberi peluang, namun tidak kesampaian.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana berkesempatan membawa mak ambil angin dan bersiar-siar biarpun menggunakan kerusi roda," katanya.