Pasangan bertunang ditahan ugut sebar gambar bogel

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Polis menahan pasangan kekasih masing-masing di Sea Park dan Sungai Besi kerana dipercayai terlibat dalam kes ugut gambar dan video bogel seorang gadis berusia 21 tahun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mangsa membuat laporan polis selepas dihubungi oleh nombor yang tidak dikenali dan diugut supaya memberikan wang RM1,000.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa pernah berkongsi gambar dan video bogel kepada bekas teman lelakinya pada Mac lalu bagaimanapun kini sudah tidak berhubung lagi.

"Mangsa pernah bertemu dengan rakan kepada teman lelakinya pada April lalu di kawasan Sabak Bernam, Selangor dan dia menyerahkan wang tunai RM300 supaya gambar dan video tersebut dipadam.

"Bagaimanapun, suspek masih meminta wang daripada mangsa dan mangsa memasukkan wang RM400 ke dalam akaun bank yang diberikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa pada Jun lalu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menahan pemilik akaun tersebut iaitu seorang wanita berusia 23 tahun di Sungai Besi, pada jam 7 petang.

Katanya, soal siasat kemudian membawa penahanan suspek lelaki di Petaling Jaya kira-kira jam 11.30 malam.

"Siasatan awal mendapati, suspek lelaki yang mempunyai dua rekod lampau kes dadah mengaku membuat pemerasan dengan meminta wang daripada mangsa sekiranya tidak mahu gambar dan video bogel mangsa disebarkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua suspek yang sudah bertunang itu direman untuk siasatan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.