Covid-19: Lagi kluster baharu dikesan di Sabah

Dr Noor Hisham
 - Foto Bernama
Dr Noor Hisham
 - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan mengenal pasti satu kluster baharu koronavirus (Covid-19) dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah dikenali Kluster Laut yang dikesan di Kunak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks kluster (kes ke-9859) itu merupakan seorang tahanan di Pusat Tahanan Sementara Tawau, Sabah yang telah dihantar pulang ke negara asalnya di Zamboanga, Filipina pada 27 Ogos lalu.

Namun menurutnya, pada 5 September lalu individu itu menyusup masuk semula ke Sabah melalui jalan tikus untuk melawat isterinya.

“Isteri (kes indeks) (iaitu kes ke-9860) pula dikesan positif Covid-19 pada 8 September semasa saringan rujukan dari Hospital Kunak ke Hospital Tawau bagi rawatan lanjut komplikasi pendarahan selepas bersalin,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat, dua lagi kes positif Covid-19 telah dikesan iaitu anak dan jiran kes indeks (kes ke-9861 dan kes ke-9862).

Beliau berkata, hingga hari ini, seramai 49 individu telah disaring dalam kluster tersebut dan kesemua saringan melibatkan warganegara Filipina.

Katanya, daripada jumlah itu empat kes dikesan positif, 14 individu negatif dan 31 individu lagi masih menunggu keputusan.

“Langkah pencegahan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan pembersihan telah dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti. Punca jangkitan masih di dalam siasatan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: