SPR lantik 163 pemerhati pantau PRN Sabah

Abdul Ghani Salleh - Foto Bernama
Abdul Ghani Salleh - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melantik seramai 163 orang pemerhati pilihan raya daripada 14 buah organisasi bagi memantau perjalanan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, organisasi itu adalah membabitkan agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sembilan individu yang berkelayakan.

“Selain itu, SPR juga menubuhkan 73 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) selaras dengan Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi memantau semua aktiviti calon ketika berkempen.

“Ini termasuk pematuhan terhadap Garis Panduan Pencegahan koronavirus (Covid-19),” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Abdul Ghani berkata, ini selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuatkuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ketika ditanya berhubung dakwaan hanya media rasmi kerajaan dibenarkan membuat liputan di dalam pusat-pusat penamaan calon PRN kali ini, Abdul Ghani berkata, perkara itu adalah mengambil kira situasi semasa Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: PRN Sabah: Proses penamaan calon bermula

“Mengenai perkara ini, pihak kami ada membincangkan dengan beberapa pihak berkaitan berhubung liputan daripada pihak media dan telah memutuskan hanya media rasmi kerajaan dibenarkan.

“Perkara ini adalah berhubung kait dengan situasi semasa pandemik Covid-19 yang masih melanda melanda negara kita,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pagi tadi, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil mempertikai SPR berhubung liputan media hanya diberikan kepada media kerajaan di pusat penamaan calon.

Katanya, perkembangan itu adalah satu langkah tidak demokratik dan melanggar semangat untuk melakukan reformasi pilihan raya.

"Saya difahamkan dari laporan sebuah portal bahawa pihak SPR mengarahkan hanya media rasmi Bernama, RTM - Radio Televisyen Malaysia, Jabatan Penerangan dan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) dibenarkan membuat liputan di dalam pusat-pusat penamaan calon bagi PRN Sabah. Semua media lain tidak dibenarkan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: LIVE: Penamaan Calon PRN Sabah