Operasi perniagaan di KL kekal hingga 12 tengah malam

Kenyataan dikeluarkan DBKL berhubung waktu operasi premis perniagaan di Kuala Lumpur kekal sehingga jam 12 tengah malam.
Kenyataan dikeluarkan DBKL berhubung waktu operasi premis perniagaan di Kuala Lumpur kekal sehingga jam 12 tengah malam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Waktu operasi premis perniagaan di Kuala Lumpur masih kekal sehingga jam 12 tengah malam sepanjang tempoh Perintah Kawasan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL menerusi satu kenyataan memaklumkan, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Pengurusan Krisis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (CMCWPKL) semalam.

Menurutnya, keseragaman waktu operasi premis perniagaan itu bagi memudahkan pemantauan dilaksanakan oleh DBKL dan lain-lain agensi.

“DBKL merujuk kepada keputusan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bersetuju membenarkan operasi premis perniagaan dilanjutkan sehingga jam 2 pagi dalam tempoh PKPP.

“CMCWPKL memutuskan waktu operasi premis perniagaan di Kuala Lumpur masih kekal sehingga jam 12 tengah malam bagi memudahkan pemantauan oleh DBKL dan lain-lain agensi,” menurut kenyataan itu.

Katanya, sepanjang tempoh PKPP, DBKL bersama lain-lain agensi menjalankan pemantauan dan pemeriksaan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ke atas 7,200 premis perniagaan di sekitar Kuala Lumpur sebelum ini.

Hasil pemantauan yang dilaksanakan setiap hari mendapati tahap pemantauan SOP PKPP masih perlu dipertingkatkan.

“Sehubungan dengan itu, DBKL memohon kerjasama pemilik dan pengendali premis perniagaan serta orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Semua pihak perlu kekal mengamalkan kawalan kendiri, memakai pelitup muka, menjaga kebersihan dan penjarakan fizikal apabila berada di tempat awam,” menurut kenyataan itu lagi.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan waktu operasi kedai makan dan kedai serbaneka kini dilanjutkan sehingga jam 2 pagi.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Khamis lalu selepas menerima banyak aduan pemilik premis yang pendapatan mereka terjejas kerana waktu operasi terhad.

Beliau berkata sebelum ini waktu operasi premis perniagaan termasuk kedai makan dan kedai serbaneka ditetapkan sehingga jam 12 tengah malam sahaja.