Liverpool tak akan 'buang duit'

Jurgen Klopp
Jurgen Klopp
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan The Reds tidak akan membazir untuk membeli pemain yang tidak perlu untuk mengharungi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Menurutnya, pasukan penyandang juara (EPL) itu masih berada pada tahap terbaik dan memiliki kualiti yang bagus tanpa perlu membeli pemain baharu.

"Sejak saya berada di sini saya tidak pernah terfikir jika kami gagal mendapatkan pemain baharu, kami tidak boleh memulakan musim ini. Tidak sama sekali.

"Kami memiliki kewangan yang kukuh dan tidak berdepan masalah untuk membawa masuk pemain. Tetapi, jika kami tidak membeli pemain sekalipun, kami masih mempunyai pemain yang sangat bagus.

"Tidak semestinya jika kami membeli pemain ia akan menjadi perkara yang betul dilakukan sebaliknya kami cuba untuk melakukan perkara ini dengan sebaik mungkin," katanya.

Liverpool setakat ini hanya membeli pemain pertahanan kiri Kostas Tsimikas selain dikaitkan dengan pemain tengah Bayern Munich, Thiago Alcantara.

Klopp berkata, aktiviti perpindahan pemain yang perlahan bukan perkara baru di kelab tersebut dan ia tidak memberikan kesan besar kepada pasukan.

"Kami tidak kedekut untuk berbelanja jika ia sesuatu yang memerlukan. Jika tidak, kami tidak akan membazir, tidak ada sebab untuk kami buang duit.

Artikel Berkaitan:

"Ketika saya berbicara tentang kesukaran masa yang kita lalui ketika ini, orang mungkin berfikir, 'Benarkah? Dalam bola sepak juga?'. Ya! Cukup mengejutkan, dalam bola sepak juga.

"Jika kita dapat mencari pemain yang tepat, mungkin kami akan beli. Jika tidak, maka kita akan bersama pasukan yang sama musim lalu," katanya.

Dalam masa sama, Klopp menjangkakan saingan EPL musim ini akan lebih mencabar terutamanya saingan dalam kedudukan empat terbaik EPL.

"Menjadi sebuah pasukan seperti Liverpool akan sangat mencabar. Pasukan mana pun yang akan kami lawan sudah tentu akan cuba menewaskan kami," katanya.