Liverpool tak berhajat belanja besar

Klopp memburu pemain untuk memantapkan jentera tengah Liverpool. - Foto EPA
Klopp memburu pemain untuk memantapkan jentera tengah Liverpool. - Foto EPA
A
A
A

LIVERPOOL tidak bercadang berbelanja besar bagi mendapatkan pemain baharu untuk mengharungi kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim depan.

Pengurusnya Jurgen Klopp memberitahu, The Reds tidak akan membayar lebih terhadap pemain yang mereka mahukan sebaliknya mempunyai pilihan untuk mencari pemain lain.

Liverpool menarik diri dalam usaha mendapatkan Jude Bellingham dari Borussia Dortmund yang mungkin meminta bayaran kira-kira 130 juta pound (RM729 juta).

“Kami tidak boleh membeli pemain itu yang terlalu mahal. Jika harganya terlalu tinggi kita tidak boleh melakukannya,” katanya.

The Reds yang dalam usaha memantapkan semula bahagian tengah kini beralih arah kepada Alexis Mac Allister dari Brighton sebagai alternatif.

Kelemahan jentera tengah Liverpool boleh menjadi faktor kelab-kelab lain meletakkan nilai yang tinggi kepada The Reds yang terdesak untuk memperkuatkan semula bahagian tengah mereka.

“Kami akan membawa masuk pemain yang dimahukan dan mereka yang akan membantu kami. Saya cukup yakin dengan usaha yang dilakukan.

“Anda mungkin mempunyai pemain yang diinginkan, namun jika kelab lain tidak mahu menjual atau terdapat kelab yang mahu membayar dengan harga yang lebih tinggi, maka kami tidak boleh meneruskannya.

“Kebiasaannya kami akan dapat pemain yang dimahukan. Namun persoalannya adakah kami mampu untuk membawa mereka menyertai kelab?,” ujar Klopp.