Maszlee pelawa Najib mengajar di kawasan pedalaman

Maszlee (dua, kanan) sewaktu merasmikan Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan di SMK Sultan Abdul Jalil, Kluang.
Maszlee (dua, kanan) sewaktu merasmikan Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan di SMK Sultan Abdul Jalil, Kluang.
A
A
A

KLUANG - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menawarkan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar menggunakan waktu terluangnya untuk mengajar di kawasan pedalaman dan bukannya rancak menabur fitnah di laman sosial miliknya.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, ini juga sebagai salah satu usaha untuk Najib menebus segala dosa dan kesalahannya kepada rakyat sepanjang tempoh pentadbirannya dahulu.

"Banyak fitnah yang beliau (Najib) sudah buat dan semalam, beliau kata kerajaan PH mengurangkan kadar makanan sehari di sekolah berasrama penuh (SBP) daripada RM18 kepada RM14.50 sehari.

"Ini adalah fitnah dan saya sendiri menafikan perkara ini dan kalau boleh selepas ini Najib buatlah kerja rumah (homework) dulu sebelum keluarkan sebarang kenyataan dan petang ini, saya meminta kementerian keluarkan kenyataan rasmi berkenaan perkara ini," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita semasa sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil, di sini, hari ni.

Semalam, Najib menerusi laman sosialnya mendakwa Kerajaan PH mengurangkan kadar makanan sehari di (SBP) daripada RM18 kepada RM14.50 sehari.

Pada masa sama, Maszlee turut mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang mahu meminda Seksyen 29A(2) Akta Pendidikan 1996 bagi memperluaskan pendidikan wajib kepada anak-anak di peringkat rendah dan menengah.

"Perkara ini telah dibincangkan bersama sebelum ini. Kami juga telah tubuhkan satu jawatankuasa khas untuk melihat perkara ini secara terperinci dan apabila telah selesai, baharulah kita akan kemukakan kenyataan rasmi.

Artikel Berkaitan:

"Di negara-negara maju seperti Jepun, mereka telah laksanakan tempoh belajar wajib selama 12 tahun kerana kita mahu memastikan tahap keciciran murid dan pelajar berkurangan dengan kesedaran dalam kalangan ibu bapa menghantar anak ke sekolah dipertingkatkan," katanya.