Bilik Gerakan SPRM sempena PRN Sabah mula operasi

S Karunanithy
S Karunanithy
A
A
A

KOTA KINABALU - Bilik Gerakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dilancarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah mulai beroperasi hari ini.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy berkata, bilik gerakan itu dilancar bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang PRN Sabah.

"Bilik gerakan operasi mula beroperasi hari ini sehingga 30 September ini membabitkan semua cawangan SPRM di Sabah iaitu SPRM Kota Kinabalu, cawangan Tawau, Lahad Datu, Sandakan dan Keningau dengan keanggotaan seramai 106 pegawai.

"Bilik gerakan ini beroperasi 24 jam bagi menerima sebarang maklumat dan aduan berkaitan kesalahan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang tempoh berkempen dan pilihan raya," katanya melalui satu kenyataan di sini semalam.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan supaya calon dan parti politik yang bertanding supaya tidak melakukan aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (pindaan 2012).

Terdahulu, bilik gerakan SPRM Sabah yang boleh dihubungi melalui talian 010-9436002 atau 088-488381 (Kota Kinabalu), 089-668746 atau 089-668496 (Sandakan) dan 089-772743 atau 7523005 (Tawau).

Artikel Berkaitan: