Cemar Sungai Gong: Reman empat beradik dilanjut lima hari

Keempat-empat suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang hari ini.
Keempat-empat suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tempoh reman terhadap empat pengurus kilang yang merupakan adik-beradik disyaki terlibat isu pencemaran Sungai Gong, Rawang Selangor dilanjutkan lima hari bermula esok hingga Selasa depan.

Kesemua suspek tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Selayang pada jam 9.15 pagi diiringi polis, selepas direman sejak 7 September lalu sehingga hari ini.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan ke atas semua suspek berusia 50 hingga 60 tahun.

Sementara di mahkamah sama, seorang lagi lelaki yang merupakan pekerja kilang itu, berumur 30-an ditahan reman selama enam hari bermula hari ini selepas ditangkap polis di kawasan Gombak semalam.

Kesemua mereka direman bagi siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 5 September lalu, empat pengurus kilang direman enam hari sehingga Khamis ini berhubung kejadian sama mengikut seksyen serupa.

Kesemua suspek lelaki berumur dalam lingkungan 50 hingga 60 tahun merupakan adik-beradik yang menguruskan kilang itu selepas kematian bapa mereka.

Artikel Berkaitan:

Ekoran pencemaran minyak daripada kilang itu pada Khamis lepas, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat empat beradik disyaki cemar Sungai Gong

Pencemaran Sungai Gong: Dua pekerja kilang direman 6 hari