Cemar Sungai Gong: Dua beranak dilepas, dibebaskan

Kin Sang (tiga dari kanan) dan Wern Teik (dua dari kanan) dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Selayang pada Isnin.
Kin Sang (tiga dari kanan) dan Wern Teik (dua dari kanan) dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Selayang pada Isnin.
A
A
A

SELAYANG - Dua pengarah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan melepas dan melupuskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya tanpa lesen ke Sungai Gong, Rawang tiga tahun lalu.

Hakim Osman Affendi Mohd Salleh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Chai Kin Sang, 65, dan Chai Wern Teik, 34, di akhir kes pendakwaan.

Semasa membaca keputusan penghakimannya, Osman Affendi berkata, mahkamah dapati bahawa tiada keterangan kredibil menunjukkan bahawa kedua-dua tertuduh telah melupuskan atau membuang apa-apa bahan berbahaya ke alur air yang mengalir ke Sungai Gong.

"Mahkamah memutuskan bahawa keterangan menunjukkan bahawa mereka tidak bersalah dalam mengakibatkan pencemaran sungai itu.

"Oleh itu, mahkamah melepaskan dan membebaskan mereka tanpa perlu dipanggil untuk membela diri," katanya.

Dalam prosiding itu, seramai 21 saksi dipanggil oleh pihak pendakwa untuk membuktikan kes berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisak Hassni manakala pembelaan diwakili oleh peguam Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Pada 3 November 2020 lalu, Kin Sang dan anaknya, Wern Teik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan melakukan khianat di sungai tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, dua beranak itu didakwa menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya daripada FG Auto Parts Sdn Bhd dilupuskan ke dalam alur air yang akan mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan niat bersama melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dari bengkel sama ke dalam alur air yang akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen.

Kesalahan didakwa dilakukan di premis berkenaan di Lot 16273 Jalan Sungai Bakau-Batu Arang Rawang dekat sini antara 17 dan 19 Oktober 2020.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan kedua, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada tiga tahun lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas berikutan insiden pencemaran minyak sehingga menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Pihak polis memaklumkan, terdapat lima kes berkaitan pencemaran air telah disiasat.