Penyatuan Pas-BN tak mustahil

Ribuan orang memenuhi ceramah berkenaan. (Gambar kecil: Jasimi)
Ribuan orang memenuhi ceramah berkenaan. (Gambar kecil: Jasimi)
A
A
A

BALING - Penyatuan Pas-BN pernah direalisasikan pada 1974 dan perkara itu tidak mustahil berulang.

Ketua Penerangan Umno Baling, Datuk Jasimi Zainol Abidin orang Melayu dapat bersatu sekiranya kedudukan mereka tergugat dan itu dibuktikan pada tahun 1974.

Menurutnya, pada Mei 1969 menyaksikan BN hampir tumbang pada DAP di Selangor selain berlakunya rusuhan kaum.

“Kuasa Melayu ketika itu jatuh. Pada tahun itu di Selangor terutamanya BN hampir kalah kepada pembangkang.

“Sebelum tahun 1974 belum ada BN tetapi dikenali sebagai Perikatan iaitu gabungan MIC, MCA, dan Umno sahaja,” katanya kepada Sinar Harian selepas Ceramah Penyatuan Ummah, Isu-Isu Semasa (Pas-Umno) di Kampung Bok Bak, malam kelmarin.

Ceramah berkenaan dianjurkan Umno Parlimen Baling.

Beliau berkata, insiden 13 Mei membawa kepada pengisytiharan darurat dan membawa kepada pembentukan Majlis Gerakan Negara (Mageran).

“Selama dua tahun kerajaan ditadbir bawah Mageran sehinggalah Parlimen Malaysia disusun kembali pada 1971.

Artikel Berkaitan:

“Tun Abdul Razak Hussein lihat tidak cukup hanya dengan parti sedia ada, perlu buat gabungan lain dan perlu disertai Pas.

“Akhirnya BN ditubuhkan pada 1973 dengan disertai Pas, Umno, MCA, MIC termasuk Parti Perikatan Sabah, Parti Rakyat Bersatu Sarawak dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu dan gabungan ini menang besar pada PRU 1974,” katanya.

Katanya, BN dan Pas menang semua kerusi ditandingi ketika berada dalam penyatuan.

“BN menang 61 kerusi ditandingi, Pas juga menang semua 14 kerusi ditandingi. Namun gabungan Pas dan Umno hanya bertahan hingga 1978,” katanya.

Tambahnya, penyatuan seumpama itu tidak mustahil akan berputik sekali lagi demi Melayu dan Islam.

Mengulas kehadiran penuh 1,000 orang pada ceramah tersebut, beliau berkata, perkara itu sudah dijangka.

“Jumlah malam ini (kelmarin) tidak mengejutkan, kita sudah jangka dan yakin dalam mesyuarat pun itu kehendak kita. Alhamdulillah, sasaran dapat dicapai.

“PRU15 lambat lagi, tapi harapan saya biarlah penyatuan Umno-Pas menjadi kenyataan,” katanya.