Kutipan derma Yayasan Kedah Sejahtera bayar denda mahkamah Kerajaan Negeri dipersoal

Swee Leong mahu penjelasan mengenai penggunaan wang Yayasan Kedah Sejahtera untuk membayar kos mahkamah Kerajaan Negeri.
Swee Leong mahu penjelasan mengenai penggunaan wang Yayasan Kedah Sejahtera untuk membayar kos mahkamah Kerajaan Negeri.
A
A
A

ALOR SETAR - Sumbangan orang ramai melalui Yayasan Kedah Sejahtera bagi tujuan mengutip derma membayar kos mahkamah Kerajaan Negeri sebanyak RM50,000 dipersoalkan memandangkan kutipan dilaporkan mencecah RM283,676.31.

ADUN Kota Darul Aman, Teh Swee Leong berkata, kerajaan negeri perlu menjelaskan rasional penggunaan yayasan berteraskan kebajikan rakyat tersebut bagi tujuan berkenaan.

Menurutnya, penjelasan juga perlu diberikan sama ada tindakan menggunakan yayasan itu dibenarkan di bawah perlembagaannya dan mendapat kelulusan sewajarnya.

"Saya ingin mengemukakan dua soalan, pertama, mengapakah sebuah yayasan yang berteraskan kebajikan rakyat digunakan untuk membayar kos mahkamah Kerajaan Negeri? Adakah tindakan ini dibenarkan bawah perlembagaan yayasan dan mendapat kelulusan yang sewajarnya?

"Kedua ke manakah lebihan kutipan sebanyak RM233,676.31 disalurkan, dan adakah penyata penuh kutipan serta perbelanjaan akan didedahkan kepada umum?," katanya ketika membahaskan Bajet Kedah 2027.

Beliau bagaimanapun berkata, tidak mempertikaikan keikhlasan penyumbang, sebaliknya ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan dana awam mesti diutamakan.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membatalkan tindakan menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan dengan memerintahkan membayar kos sebanyak RM50,000.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!