Graduan UUM jangan kompromi soal integriti, rasuah - Raja Muda Kedah

SINTOK - Graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) diingatkan supaya tidak berkompromi dalam soal integriti serta menolak sebarang bentuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan sumber awam apabila melangkah ke alam pekerjaan.
Raja Muda Kedah merangkap Pro Canselor UUM, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah, integriti merupakan nilai paling berharga yang perlu dipegang oleh setiap graduan bagi memastikan kejayaan yang dicapai selari dengan prinsip moral dan etika yang tinggi.
Menurut baginda, kejayaan seseorang tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan pencapaian akademik, kedudukan mahupun pengiktirafan yang diterima, sebaliknya turut dinilai melalui nilai dan prinsip yang diamalkan sepanjang hayat.
"Integriti bermaksud melakukan perkara yang betul walaupun tiada sesiapa yang melihat.
"Jadilah individu yang boleh dipercayai serta rakan sekerja yang sentiasa mengutamakan keadilan dan kejujuran," titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke-39 UUM Sesi Kedua di Dewan Mu'adzam Shah di sini pada Isnin.
Pada majlis itu, seramai 122 graduan sulung daripada tiga program pengajian baharu UUM turut diraikan.
Mereka terdiri daripada graduan Ijazah Sarjana Sains (Geoinformatik untuk Pengurusan Risiko Bencana), Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian serta Ijazah Sarjana Muda Linguistik Terapan dan Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian.
Baginda turut mengingatkan bahawa rasuah dan penyalahgunaan kuasa merupakan antara ancaman terbesar yang boleh menjejaskan keutuhan organisasi serta kesejahteraan negara.
Sehubungan itu, baginda mahu graduan sentiasa meletakkan prinsip integriti mengatasi kepentingan peribadi dalam apa juga keadaan agar tidak terjebak dengan amalan yang boleh merosakkan masa depan diri dan masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

