Kem pelarian di Greece terbakar, ribuan hilang tempat tinggal

Ribuan pencari suaka hilang tempat tinggal selepas kebakaran berlaku di kem pelarian Moria, Greece pada malam Selasa lalu. - AFP
Ribuan pencari suaka hilang tempat tinggal selepas kebakaran berlaku di kem pelarian Moria, Greece pada malam Selasa lalu. - AFP
A
A
A

GREECE - Ribuan pencari suaka kehilangan tempat tinggal semalam apabila satu kebakaran memusnahkan kem migran yang terbesar Greece di Lebos.

Kebakaran kedua pada waktu malam memperbesarkan lagi krisis tersebut yang mana pihak berkuasa kemudian mengisytiharkan keadaan darurat di pulau tersebut.

Pada kebakaran pertama yang bermula selepas 35 orang diuji positif kerana koronavirus (Covid-19) di kem Moria, ribuan pelarian melarikan diri bagi menyelamatkan diri ke dusun pokok zaitun tetapi tiada yang mengalami kecederaan serius.

Ketika negara-negara Eropah iaitu dari Jerman hingga ke Norway bersama ketua Kesatuan Eropah (EU) menawarkan bantuan dan simpati, para pegawai Greece menyalahkan migran berikutan kejadian tersebut.

Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis berkata, kebakaran itu berlaku disebabkan oleh reaksi ganas di dalam kem tersebut berikutan ujian positif virus Covid-19.

Menteri Migrasi, Notis Mitarachi berkata, pencari suaka memulakan kebakaran disebabkan langkah-langkah kuarantin yang dikenakan selepas ujian pandemik itu.

Kebanyakan migran duduk di tepi jalan terletak antara kem dan pelabuhan Mytilene lewat semalam.

"Kami mahu berbuat apa sekarang? Ke manakah kita boleh pergi? soal seorang pelarian Afghanistan, Mahmout ketika rakan senegaranya, Aisha mencari dua daripada anak-anaknya.

Artikel Berkaitan:

"Kami hilang segala-galanya," kata Cornille Ndama iaitu seorang migran dari Congo.

Kira-kira 3,500 migran hilang tempat tinggal dan yang paling lemah akan ditempatkan di atas sebuah feri di sebuah pelabuhan berhampiran manakala dua buah kapal Tentera Laut Greece menyediakan tempat tidur pada hari ini, kata Mitarachi. - AFP