AirAsia tubuh ADE gabung kakitangan kejuruteraan

AirAsia Group Bhd menubuhkan Asia Digital Engineering Sdn Bhd (ADE) untuk menggabungkan kakitangan kejuruteraannya dalam seluruh kumpulan. - Foto 123RF
AirAsia Group Bhd menubuhkan Asia Digital Engineering Sdn Bhd (ADE) untuk menggabungkan kakitangan kejuruteraannya dalam seluruh kumpulan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - AirAsia Group Bhd menubuhkan Asia Digital Engineering Sdn Bhd (ADE) untuk menggabungkan kakitangan kejuruteraannya dalam seluruh kumpulan.

Kumpulan syarikat penerbangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, ADE akan beroperasi sebagai unit penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bebas dan berpusat untuk menyediakan perkhidmatan servis kepada semua syarikat penerbangan kumpulan AirAsia dan syarikat penerbangan pihak ketiga di rantau ini.

Menurut AirAsia, anak syarikat baharu itu akan menjadi saluran untuk memperoleh pendapatan tambahan, memberi tumpuan kepada perkhidmatan utama seperti penyenggaraan, bengkel, sokongan kejuruteraan, komponen dan gudang, serta digital dan inovasi.

"ADE akan memulakan transformasi digital Industri 4.0, bersedia bagi masa depan dengan memanfaatkan teknologi terkini dalam automasi, analisis data raya, penyenggaraan prediktif, pembelajaran mesin, dan kecerdasan buatan.

"Transformasi ini untuk mengurangkan kos penyenggaraan dan meningkatkan produktiviti serta kecekapan, di samping mengekalkan tahap keselamatan, kualiti dan kelayakan terbang pesawat yang tinggi," kata kumpulan itu.

Syarikat penerbangan itu melantik ketua pengurusan aset teknikal dan armadanya, Mahesh Kumar Jaya Kumar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif ADE.

ADE mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk memulakan operasinya yang bermula hari ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: