27 nelayan asing dicekup curi ikan di perairan negara

Nelayan asing yang ditahan semalam dibawa ke Pengkalan Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut.
Nelayan asing yang ditahan semalam dibawa ke Pengkalan Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut.
A
A
A

KEMAMAN - Cubaan 27 nelayan asing mencuri ikan di perairan negara berjaya dipatahkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kemaman dalam Op Iman dan Op Naga Barat semalam.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, kesemua mereka yang menceroboh perairan negara dengan menaiki dua buah bot itu ditahan ketika berada di 98 batu nautika dari Kuala Kemaman, di sini antara jam 11.34 pagi hingga 11.50 pagi.

“Semasa ditahan, kedua-dua bot ini didapati sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di dalam perairan Terengganu.

"Berdasarkan nombor pendaftaran bot serta kewarganegaraan awak-awak dipercayai ini adalah bot-bot nelayan asing Vietnam yang menceroboh perairan negara,” katanya pada sidang akhbar di Pengkalan Zon Maritim Kemaman, di sini hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot ini tidak memiliki sebarang dokumen atau permit kebenaran yang sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia dan gagal mempamerkan permit kerja yang sah daripada Jabatan Imigresen.

Menurut Rashidilhadi, kesemua bot berserta awak-awak dibawa ke Jeti Pengkalan Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Katanya, APMM sentiasa memandang serius isu pencerobohan nelayan asing dan akan mempertingkatkan lagi rondaan dan kawalan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terpelihara.

Artikel Berkaitan: