Kedah mungkin syor TEMCO di Mukim Telaga, Sungai

Muhammad Sanusi (tengah) pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman hari ini.
Muhammad Sanusi (tengah) pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah kemungkinan mengesyorkan supaya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) dilaksanakan di Mukim Telaga dan Mukim Sungai berikutan peningkatan kes Covid-19 daripada dua kluster itu.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bagaimanapun sebarang keputusan lanjut pelaksanaannya di daerah Kota Setar itu bergantung kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, ini kerana banyak faktor perlu diambil kira sekiranya TEMCO dilaksanakan antaranya sektor ekonomi dan pendidikan.

“Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan kawalan mengikut syor yang akan diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) petang ini berhubung Kluster Sungai yang dikenal pasti di sebuah hospital pakar swasta baru-baru ini.

"Kita akan kemuka syor jika TEMCO perlu dilaksanakan. Berdasarkan pengalaman lepas, TEMCO adalah kaedah berkesan untuk kekang penularan, pertimbangan lain termasuk kesan kepada sektor lain,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri hanya boleh mengemukakan syor dan tiada kuasa untuk memberi kata putus, dan keputusan akan diumumkan oleh MKN peringkat Persekutuan.

“Saya faham rakyat bimbang dan mahu kerajaan laksana TEMCO, tapi itu bukan bidang kuasa kita untuk putuskan. Kita hanya syorkan sahaja kepada MKN Persekutuan dan akan ambil masa sedikit untuk mereka umumkan,” katanya.

Menurutnya, kejayaan menamatkan Kluster Sivagangga (Kubang Pasu), Kluster Tawar (Baling), Kluster Muda (Kuala Muda) dan Kluster Sala (Yan) adalah hasil pelaksanaan TEMCO yang berkesan.

Artikel Berkaitan:

“Kluster Muda dan Tawar semakin menurun, kini kita bimbang penularan Kluster Telaga dan Sungai membabitkan petugas kesihatan, lebih 600 sudah pun disaring dan keputusannya diketahui hari ini.

"Terdapat 200 petugas kesihatan dan kontak rapat dikuarantin di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar selain petugas kesihatan dari sebuah hospital pakar swasta,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menasihatkan orang ramai agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian Covid-19.

“Gunakan pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan. Tak perlu keluar rumah tanpa tujuan terutama anak muda yang lifestyle mereka suka melepak. Kekallah di rumah buat masa ini, elakkan risiko untuk diri dan keluarga,” katanya.