X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Kematian prebet Aziz: Beberapa anggota tentera dirakam percakapan

Abdul Hamid Bador
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah merakam percakapan beberapa anggota tentera bagi membantu siasatan kes kematian seorang anggota tentera yang dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan kediaman sebuah kem tentera di Batu Pahat, Johor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, beberapa saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan kes terbabit.

Menurutnya, pihaknya juga menyiasat detik- detik terakhir sebelum mangsa meninggal dunia bagi mengenal pasti punca kematian anggota tentera tersebut.

"Beberapa anggota tentera sedang dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

"Kita turut menyiasat detik-detik sebelum mangsa meninggal dunia, apakah tindakan itu berpunca daripada tekanan atau ugutan, penderaan?" katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Pengarah di Maktab Polis Diraja Malaysia, Kuala Lumpur hari ini.

Abdul Hamid berkata, pihaknya akan menyerah kertas siasatan kepada Peguam Negara, setelah mendapat butiran bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Kita menjalankan siasatan sebaik-baiknya, kita mahu memberikan keadilan kepada semua pihak," katanya.

Terdahulu, Tentera Darat Malaysia (TDM) menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan berhubung kes itu.

Menurut kenyataan, TDM juga tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggota jika terbabit dengan sebarang perlakuan menyalahi undang-undang.

ARTIKEL BERKAITAN: Siasatan menyeluruh kematian anggota tentera: Ayob Khan

Sehari sebelum kejadian, mangsa Prebet Abdul Aziz Aznam, 20, daripada Pasukan Batalion Kesepuluh Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD) Kem Majidee, Batu Pahat, Johor melapor diri ke Balai Pengawal 10 RAMD selepas Tidak Hadir Tanpa Cuti (THTC) pada jam 6 petang.

Allahyarham kemudian diletakkan dalam bilik Tangkapan Longgar di Bilik Bujang Kompeni A sementara menunggu proses dokumentasi dan dibacakan pertuduhan oleh Pegawai Pemerintah pada Oktober ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota tentera maut dipercayai terjun dari tingkat tiga

Mangsa didapati jatuh daripada aras tiga bangunan bilik penginapan terbabit kira-kira jam 11.50 malam.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.

Susulan kejadian itu, pasukan 10 RAMD membuat satu laporan di Balai Polis Batu Pahat, Johor pada 29 Ogos lalu dan pihak keluarga membuat satu laporan polis di Ipoh, Perak pada 1 September lalu atas dakwaan bahawa anggota berkenaan didera sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Dakwaan bunuh diri guris hati keluarga'

Selepas sembilan hari dirawat di HSNI, Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 2 petang, Ahad lalu.

Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh doktor pakar dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru kelmarin mendapati tiada kecederaan fizikal lain pada jenazah yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah dan penderaan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan abang mangsa, Mohamad Amirulnaim Aznam, 23, memaklumkan Allahyarham pernah menyatakan hasrat berhenti daripada berkhidmat dalam pasukan tentera kerana tidak tahan dibuli.

Bagaimanapun, Mohamad Amirulnaim berkata, mereka sekeluarga menyerahkan kepada polis sepenuhnya namun meletakkan harapan tinggi agar kematian adiknya itu terbela.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!