'Dakwaan bunuh diri guris hati keluarga'

Azlinna. Gambar kecil: Laporan Sinar Harian semalam.
Azlinna. Gambar kecil: Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

IPOH - Ahli keluarga anggota tentera, Abdul Aziz Aznam, 20, yang meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga kuarters kediamannya di Kem Majidee, Batu Pahat, Johor Ahad lalu berharap masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian berkenaan.

Kakak Allahyarham, Azlinna Aznam, 25, berkata, tindakan segelintir pihak yang membuat pelbagai andaian termasuk mengaitkan kejadian menimpa adiknya itu dengan tindakan bunuh diri sedikit sebanyak mengguris perasaan ahli keluarga terutama ibu mereka.

"Kami sedang melalui saat yang sukar, jadi saya harap masyarakat tidak membuat spekulasi mengenai kejadian itu," katanya ketika ditemui di pekarangan luar Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan di sini awal pagi tadi.

Menurutnya, setakat ini mereka masih belum dimaklumkan perkembangan lanjut siasatan kejadian itu.

"Ada beberapa laporan polis yang kami buat kerana mahu keadilan ditegakkan dalam kes ini, jadi saya harap orang ramai dan pihak-pihak tertentu hentikan spekulasi mengenai kejadian itu.

"Emosi mak masih belum stabil dan kami sendiri tidak berapa pasti apa sebenar yang berlaku, jadi kita tunggu sajalah siasatan lanjut nanti," katanya.

Jenazah Abdul Aziz selamat dikebumikan dengan istiadat ketenteraan kira-kira jam 2.30 pagi tadi disaksikan lebih 200 orang termasuk ahli keluarga, saudara-mara dan rakan sejawat bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Allahyarham menghembus nafas terakhir pada jam 2.30 petang, Ahad lalu selepas sembilan hari mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Artikel Berkaitan:

Azlinna turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pegawai dan anggota Tentera Darat yang membantu melancarkan proses pengebumian adik bongsunya itu.

"Dari awal hingga selesai kebumi, semuanya diuruskan oleh Tentera Darat, mewakili keluarga saya ucapkan terima kasih kerana permudahkan urusan arwah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota tentera maut dipercayai terjun dari tingkat tiga

'Adik tak tahan, hari-hari kena'

Jenazah prebet Aziz selamat dikebumi