Kakitangan kerajaan ditipu lebih setengah juta ringgit

PDRM
PDRM
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang wanita kakitangan kerajaan kerugian RM586,000 selepas diperdaya oleh sindiket macau scam yang menghubunginya melalui panggilan telefon pada 26 Julai lalu.

Mangsa berusia pertengahan 40-an dari Pasir Mas sebelum itu menyerahkan butiran perbankan internet serta nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) bagi ketiga-tiga akaun bank miliknya kepada suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri, Superintenden Ahmad Azizul Mohamed berkata, wanita tersebut menyedari ditipu setelah berkongsi cerita dengan seorang ahli keluarganya kemudian membuat laporan polis pada Ahad lalu.

Kata beliau, mangsa pertama kali menerima panggilan telefon daripada suspek memperkenalkan diri sebagai anggota polis berpangkat Sarjan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) yang terletak di Malaysia Timur dan mendakwa mangsa terlibat dengan kes jenayah pengubahan wang haram berjumlah RM1.48 juta.

“Mangsa kemudian dihubungkan dengan beberapa orang suspek lain yang menyamar sebagai pegawai polis termasuk pegawai penyiasat (IO) kes jenayah pengubahan wang haram tersebut.

“Selama beberapa hari, mangsa dan suspek yang menyamar sebagai IO kes berhubung setiap hari bagi tujuan siasatan. Mangsa tidak dibenarkan memaklumkan siasatan sulit yang sedang dijalankan kepada sesiapa termasuk ahli keluarga mahupun kenalan. Dalam tempoh sama, mangsa diminta untuk mendedahkan kesemua akaun-akaun bank yang dimilikinya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pada hujung bulan Julai lalu, suspek yang menyamar pegawai kanan polis berpangkat Inspektor menghantar satu imej waran tangkap ke atas mangsa melalui aplikasi WhatsApp bagi menangkap dan membawa mangsa ke IPK yang berkenaan.

“Mangsa kemudiannya dihubungkan kepada suspek lain yang menyamar pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan kononnya sudi membantu menyelesaikan masalah mangsa. Pada masa sama memperdaya mangsa untuk membuat beberapa transaksi pindahan wang sehingga berjumlah melebihi RM200,000 ke beberapa akaun bank peribadi milik pihak ketiga.

Artikel Berkaitan:

“Mangsa juga diperdaya oleh suspek untuk membuat tiga pinjaman bank berjumlah RM370,000 dengan tiga institusi perbankan berbeza dalam tempoh masa 30 hari dan dikreditkan ke dalam akaun setelah kesemua pinjaman tersebut diluluskan,” katanya.

Ahmad Azizul berkata, mangsa diarahkan untuk menyerahkan butiran perbankan internet serta nombor TAC bagi ketiga-tiga akaun bank milik mangsa kepada suspek.

“Mangsa menyedari ditipu setelah bercerita kepada seorang ahli keluarganya lalu membuat laporan polis dengan kerugian berjumlah RM586,000 pada 6 September lalu.

“Kes Macau Scam ini kerugian yang terbesar di Kontinjen Kelantan pada tahun ini.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya dan mengikut arahan diberikan oleh individu yang hanya berhubung secara dalam talian. Jangan sewenang-wenangnya mendedahkan maklumat peribadi mahupun kewangan kepada individu tidak dikenali,” katanya.