'Jiwa saya mahu bersama Liverpool'

Rhian Brewster
Rhian Brewster
A
A
A

PENYERANG muda Liverpool, Rhian Brewster menegaskan dia masih mahu bersama penyandang juara itu dalam mengharungi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Menurut pemain berusia 20 tahun itu, dia akan berusaha meraih kepercayaan pengendali The Reds untuk menyenaraikan dalam kesebelasan utama gergasi liga Inggeris berkenaan.

"Ya, kekal di Anfield dan berjuang bersama rakan lain bagi saingan liga musim baharu ini jika anda tanya kemahuan saya.

"Jiwa saya ingin berada di Liverpool musim depan kerana saya ingin menjadi sebahagian yang berjuang untuk kelab yang hebat dengan tradisi pelbagai kejuaraan.

"Siapa yang tidak mahu bermain di dengan kelab berstatus juara?," kata pemain skuad Bawah 21 Tahun England berkenaan.

Brewster sebelum ini sebahagian daripada skuad Bawah 17 Tahun England yang menjulang Piala Dunia 2017, diintai enam kelab utama EPL.

Terbaharu adalah Aston Villa dilaporkan bergiat aktif di pasaran perpindahan pemain dengan memfokuskan kepada pencarian penyerang selepas kehilangan Callum Wilson kepada Newcastle United dengan perpindahan 20 juta pound.

Pengendali The Villans, Dean Smith dilaporkan amat berminat merekrut pemain yang dipinjamkan kepada Swansea City musim lalu itu bagi memperkuatkan cabaran kelab berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan, kelab yang berminat mendapatkan Brewster berkemungkinan terpaksa membayar sekitar 20 juta pound bagi mendapatkan khidmat pemain itu.

Biarpun situasi seolah-olah menghimpit statusnya di Anfield, Brewster berkata, "Sejujurnya saya tidak mahu dipinjamkan kepada kelab-kelab lain, tetapi saya akan lakukan demi masa depan karier jika itu adalah perkara terbaik.

"Saya akan pergi bagi mendapatkan lebih banyak minit permainan bagi mematangkan lagi gaya permainan saya. Apapun secara realistik, jiwa saya mahu bermain bersama Liverpool kerana saya mahu menjadi penyerang yang lebih baik pada masa depan.

"Namun begitu keputusan akhir di tangan pengendali tetap saya hormat yakni sama ada kekal bersama Liverpool atau kembali berstatus pinjaman dengan kelab lain sekali lagi."