Ahli perniagaan didakwa minta rasuah bantu selesai kes SOSMA

No Image Caption
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah wang bagi membantu menyelesaikan kes berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Chan Eng Leong, 46, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama, Eng Leong secara rasuah telah meminta daripada Goh Choon Kim suapan AS$150,000 sebagai dorongan untuk membantu menyelesaikan kes Goh Kim Heong yang dikatakan sedang disiasat oleh polis Bukit Aman di bawah SOSMA.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Vangohh Eminent Hotel, Jalan Machang Bubok 2, Taman Machang Bubok Bukit Mertajam pada 5 petang, antara 30 hingga 31 Mac tahun lepas.

Bagi pertuduhan kedua, Eng Leong didakwa secara rasuah telah menerima RM615,000 sebagai dorongan untuk membantu menyelesaikan kes Kim Heong di pejabat Global Tobacco Manufactures Sdn Bhd, 1762, Jalan Bukit Teh, Machang Bubok, Bukit Mertajam pada 5 petang, 1 April 2019.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah butiran palsu yang dapat dinilai atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, S Selvaranjini menawarkan jaminan RM300,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Eng Leong yang diwakili peguam, RSN Rayer merayu mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan tertuduh perlu menanggung kos pendidikan dua anaknya yang menetap di Australia.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM250,000 dengan dua orang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 23 Oktober untuk sebutan semula kes. - Bernama