PEMANGKU Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan hadir merasmikan pusat latihan tertutup Dato' Suleiman Mohd Noor, hari ini.

Fasiliti baharu yang terletak di Padang Seri Gelam, di sini, merupakan milik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT).

Ia merupakan salah satu ilham Tunku Mahkota Johor sejak menerajui Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) bagi menaikkan imej sukan berkenaan di negeri ini.

Terdahulu, majlis pecah tanah pusat latihan berkenaan disempurnakan oleh Tunku Puteri Johor, Tunku Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim pada 1 Januari 2015.

Ilham untuk membina sebuah padang latihan tertutup di Padang Seri Gelam, di Johor Bahru, bermula pada Oktober tahun lalu dan reka bentuk akhir fasiliti itu diluluskan Tunku Ismail pada Disember 2014.

Kos pembinaan padang latihan tertutup pertama di Asia Tenggara itu melibatkan kos RM18 juta dan ditaja sepenuhnya Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Struktur dan kemudahan padang itu dibuna mengikut spesifikasi ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dari segu saiz, pencahayaan dan kualiti rumput sintetik yang terbaik.

Ciri prasarana itu direka dengan kepakaran arkitek-arkitek tempatan menggunakan konsep terkini, dan ia sekali gus menjadikan sukan bola sepak kini mampu dicapai tahap lebih tinggi bukan sahaja di Johor malah negara.

Turut hadir pada majlis perasmian itu adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang juga Presiden PBNJ, Datuk Ismail Karim.