KUALA TERENGGANU - Pasukan Terengganu TFC III (TFC III) berjaya mengulangi kejayaan musim lalu apabila sekali lagi mengesahkan slot ke pentas final Piala Presiden apabila menewaskan Johor Darul Ta’azim III, 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Pemain gantian, Amirul Syazwan Nor Azmi muncul wira buat skuad Penyu apabila jaringan tunggalnya di penghujung masa tambahan membawa TFC III ke pentas final musim ini untuk berdepan Kedah.

Naib juara 2017, Terengganu FC (TFC) III, meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir Piala Presiden selepas mengatasi Johor Darul Ta'zim (JDT) III 2-0 secara agregat dalam aksi separuh akhir kedua di Kuala Terengganu, sebentar tadi.

Pada pertemuan itu, kem tuan rumah bermula garang apabila terlebih dahulu mencemaskan gawang pelawat menerusi rembatan kencang Mohammad Ridzuan Razali pada minit ke-10, namun percubaannya sekadar melepasi palang gol.

Percubaan awal itu nyata menyuntik semangat skuad kendalian Badrul Hafzan Razali apabila terus mempamer aksi lebih agresif dan hampir berada di depan lapan minit selepas itu, bagaimanapun sepakan percuma pemain gantian, Amirul Syazwan Nor Azmi hanya menggegar tiang gol pelawat.

Tersentak dengan aksi bertenaga kem tuan rumah, pasukan pelawat mula memperkemaskan rentak permainan dan tandukan kapten, Mohamad Hariz Kamarudin nyaris menerjah jaring pada minit ke-38 tetapi gagal menepati sasaran meskipun penjaga gol lawan sudah tertewas ketika itu.

Kedua-dua pasukan terus buntu dalam mencari jaringan sehingga membawa perlawanan ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, masing-masing mempamerkan aksi berbalas serangan dan pelawat hampir menamatkan kebuntuan gol menerusi rembatan kencang Muhammad Ramadhan Saifullah Usman pada minit ke-54, namun Mohamad Shafawi Mohamad terlebih dahulu menafikan hajat JDT III.

Perlawanan menjadi semakin sengit apabila kedua-dua pasukan terus menggandakan rentak serangan namun gawang masing-masing jelas sukar dibolosi dengan kekentalan yang dipamerkan benteng pertahanan sekaligus mengheret permainan ke masa tambahan.

Kem tuan rumah akhirnya menamatkan penantian gol apabila pemain gantian, Amirul Syazwan Nor Azmi berjaya menjaringkan gol kemenangan di penghujung masa tambahan sekaligus mara ke pentas final.