PENYERANG baharu Kelantan, Syafiq Shaharuddin berikrar mempamerkan prestasi terbaik untuk merebut tempat dalam pasukan itu, pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018.

Syafiq yang mesra dengan panggilan Macha berkata, dia tidak gentar sekalipun terpaksa bersaing dengan penyerang import lain untuk mengemudi jentera penggempur skuad pantai timur itu.

“Saya fikir kalau ada 30 pemain dalam pasukan Kelantan, semua 30 pemain itu juga akan melakukan perkara sama untuk dapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

“Tetapi saya anggap perkara ini positif, satu cabaran dan persaingan sihat yang perlu dihadapi sebagai pemain profesional,” katanya, semalam.

Penyerang berusia 24 tahun itu memberitahu, sudah tiba masanya dia membuat penampilan dalam kancah Liga Super setelah puas beraksi di pentas Liga Perdana bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) II, selama empat musim.

“Saya dah lama bersama JDT II, bukan kata tak ada peluang untuk dipanggil sertai JDT I tetapi mungkin agak sukar sedikit, jadi saya ingin cuba nasib bersama pasukan lain kerana saya mahu bermain dalam Liga Super.

“Saya mahu bina semula nama saya, bukan kerana faktor gaji tinggi (sertai Kelantan) tetapi memang hasrat nak beraksi dalam liga utama ini," katanya.  

Syafiq yang baru melangsungkan perkahwinan, Jumaat lalu, turut mendedahkan Kelantan menjadi destinasi pertama dia berhijrah dari Johor setelah tertarik dengan kesungguhan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mendapatkan khidmatnya.

“Memang ada tawaran lain tetapi mereka suruh tunggu dulu. Berbeza dengan Kelantan, mereka begitu serius kerana ada hitam putih (dokumen) untuk mengikat saya.

“Saya percaya ini pilihan tepat apabila sertai Kelantan, lagi pun nampak pengurusan baru Kafa cukup bersungguh-sungguh menyunting saya,” katanya yang sudah mengikat kontrak selama dua tahun, minggu lalu.