“SAYA bertanggungjawab di atas kekalahan ini” Demikian komen pemangku jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah selepas pasukannya tewas 1-4 kepada PKNS FC pada pusingan ketiga Piala FA di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Yusri berkata, kekalahan tersebut cukup memeritkan dan selaku individu yang memimpin skuad The Red Warriors, dia meletakkan kegagalan mara ke suku akhir di atas bahunya.

“Saya tidak dapat lari daripada mengambil tanggungjawab di atas kekalahan ini dan sekali lagi saya memohon maaf kepada semua penyokong Kelantan. Apa yang kita rencanakan malam ini (kelmarin) tidak menjadi buat kita.

“Apabila kita melepaskan dua gol dalam separuh masa pertama, kita terpaksa memperjudikan nasib pada babak berikutnya untuk sekurang-kurangnya mencari gol semangat pada awal permainan,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan itu.

Pada aksi kalah mati itu, sepakan penalti Romel Ramirez pada minit ke-16, Mahalli Jasuli (m-43), Mohd Safee Mohd Sali (m-60) dan Rafael Ramazotti (m-67) membuatkan Kelantan merana apabila jauh ketinggalan, pada satu ketika.

Walaupun bangkit pada minit-minit akhir namun tendangan penalti Mohammed Ghaddar sekadar menghadiahkan gol sagu hati dengan keputusan 4-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.  

Jurulatih kelahiran Perlis itu memberitahu, nasib malang menimpa barisan pemainnya apabila pada saat mereka berusaha keras untuk mengurangkan defisit gol namun gawang pasukan ditembusi dua kali, dalam babak kedua.

“(Tetapi) saya faham keadaan seperti ini, sebagaimana pemain saya alami apabila mereka ketinggalan tiga gol. Ketika itu, saya dapat lihat tahap keyakinan mereka mula menurun.

“Apa pun, tahniah kepada pemain, sekurang-kurangnya kita terus memberi saingan hingga minit ke-90 walaupun saya tahu empat gol dilepaskan itu agak besar untuk kita kejar semula dalam tempoh 20 minit terakhir,” katanya.