KECEWA dengan prestasi hambar The Bos Gaurus, penaung Persatuan Bola sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini mengarahkan tindakan tegas diambil termasuk merombak keseluruhan pasukan membabitkan pemain dan pihak pengurusan.
 
Beliau berkata satu jawatankuasa khas dibentuk iaitu Jawatankuasa Pengurusan‎ yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan dianggotai tiga exco serta penaja utama untuk mengendali dan memantau pasukan bola sepak Perak dari semasa ke semasa.
 
"Kami perlu merombak keseluruhan pasukan, keseluruhan pentadbiran termasuklah pihak pengurusan yang dah jadi tunggul reput, dah begitu lama dia orang saja yang nak kuasai semua, dia patut berundur, saya tidak akan bertoleransi.
 
Kalau kita terpaksa berkorban waktu ini, biarlah kita berkorban, maknanya kalau kita rasa ada pemain yang sudah menjadi keterlaluan sikapnya yang perlu kita korban, korbankanlah kerana apa guna kita menyimpan pemain yang tidak ada semangat tinggi untuk bermain, yang merasakan bahawa mereka lebih besar daripada pihak negeri yang ingin menaikkan imej bola sepak itu sendiri.
 
"Begitu juga dalam konteks pengurusan, kalau kita fikir kita perlukan perubahan maka kita perlu ubah," katanya dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.
 
Beliau berkata jawatankuasa berkenaan akan mengemukakan syor berhubung langkah terbaik yang perlu diambil dalam sukan bola sepak Perak selain mendapatkan maklum balas daripada peminat.
 
Terdahulu, Zambry berkata beliau amat kecewa dengan prestasi hambar The Bos Gaurus musim ini selepas mendakwa bertungkus-lumus mencari sumber kewangan bagi menyelesaikan kemelut yang membelenggu pasukan itu sebaik mengambil alih tanggungjawab sebagai Menteri Besar Perak.
 
"Saya amat kecewa melihat persembahan Perak di sebalik segala permasalahan yang telah saya bantu selesaikan, kalau kita lihat corak permainan dan apa yang mereka tonjolkan itu tidak sepadan dengan apa yang kita usahakan.
 
Kita mencari wang yang begitu banyak sekali untuk pasukan bola sepak negeri Perak kerana bola sepak merupakan sukan yang sangat dekat di hati rakyat sebab itu apabila mereka tidak bermain dengan begitu baik, secara keseluruhannya rakyat negeri Perak kecewa sangat-sangat dengan permainan yang mereka tunjukkan," katanya.
 
Zambry berkata oleh yang demikian, beliau tidak akan teragak-agak untuk melakukan langkah perlu bagi memastikan imej bola sepak Perak dikembalikan semula.
 
"Saya peminat dan pernah menjadi pemain bola sepak jadi saya tahu sama ada permainan itu permainan yang baik, atau permainan yang tidak baik, atau permainan yang main-main. Kalau main untuk main-main, tak payah mainlah," katanya. - Bernama