SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menerima tajaan berjumlah RM1.06 juta untuk Piala Sultan Selangor 2017 yang bakal diadakan di Stadium Nasional Singapura pada 6 Mei ini.

Baginda berkenan menerima cek sumbangan daripada 14 syarikat dalam satu majlis ringkas di Istana Alam Shah di sini, yang turut dihadiri Pengerusi Piala Sultan Selangor 2017 Tan Sri Abdul Karim Munisar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya.

Syarikat yang menghulurkan tajaan adalah tujuh anak syarikat kerajaan Selangor berjumlah RM605,555 terdiri daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor; Permodalan Negeri Selangor Berhad; Perbendaharaan Negeri Selangor; Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) Waste Management; Worldwide Holdings Berhad; Kumpulan Semesta Sdn Bhd dan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Tujuh lagi syarikat ialah Kingsley Edugroup Berhad dan Selangor Dredging Berhad, masing-masing menyumbang RM100,000, manakala Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash) Berhad; Taliworks Corporation Berhad; Eco World Development Group Berhad; SP Setia Berhad Group serta Yuwang Group masing-masing menaja RM50,000.

Abdul Karim ketika ditemui pemberita berkata 'Singapore Selangor Schools Challenge Cup' merupakan antara kelainan yang akan ditonjolkan pada perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor edisi ke-16 kali ini.

"Pertandingan itu yang dikhususkan untuk pelajar sekolah di Selangor dan Singapura di bawah umur 16 tahun akan menjadi asas dan sandaran bagi peminat bola sepak di dua negara tersebut," katanya.

Beliau berkata perlawanan Piala Sultan Selangor 2017 akan bermula dengan aksi veteran Selangor menentang veteran Singapura pada 6.30 petang, diikuti perlawanan utama antara Pilihan Selangor berdepan Pilihan Singapura.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata pihaknya turut menyediakan kira-kira 100 bas bagi penyokong bola sepak Selangor untuk menyaksikan perlawanan tersebut di Singapura.

Sebagai rekod, Pilihan Selangor muncul juara tujuh kali pada 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013 dan 2014, manakala Pilihan Singapura merangkul kejuaraan enam kali pada 2006, 2007, 2009, 2010, 2011 dan 2016.

Kedua-dua pasukan muncul juara bersama pada edisi 2004 di Stadium Nasional Kallang, Singapura selepas perlawanan berkesudahan seri 2-2.

Piala Sultan Selangor diilhamkan Sultan Sharafuddin yang melibatkan pasukan pilihan serta veteran Selangor dan Singapura, bagi merapatkan hubungan antara kedua-dua pihak.

Baginda juga merupakan penaung kejohanan yang diperkenalkan sejak 2001, yang ketika itu dikenali sebagai Piala Pemangku Raja Selangor. - Bernama