KUALA LUMPUR - Grandmaster Sergei Tiviakov dari Belanda dinobat sebagai juara Kejohanan Catur Terbuka Antarabangsa Raja Dr Nazrin Shah 2012.

Tiviakov menerima RM10,000 serta piala pusingan yang disampaikan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah.

Juara Terbuka Eropah sebanyak dua kali itu menyingkirkan penyandang, Grandmaster Barbosa Oliver dari Filipina, yang menduduki tempat kedua bagi membawa pulang RM6,000.

Pemain wanita terbaik dimenangi Padmini Roul dari India manakala kategori peserta tempatan terbaik diraih Ng Tze Han dari Pulau Pinang.

Turut berangkat ke majlis itu adinda Raja Dr Nazrin, Raja Datuk Seri Azureen Shah, yang juga Canselor Kolej Universiti Metropolitan Asean.

Kejohanan itu, yang bermula pada 7 Sept lepas dan berakhir hari ini, menyaksikan penyertaan 90 pemain dari 19 negara, termasuk 26 dari Malaysia.

Kejohanan catur bertaraf antarabangsa itu anjuran bersama Persatuan Catur Kuala Lumpur dan Yayasan Pembangunan Intelek Malaysia serta International Masterskill Education Group Berhad.
 - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.