KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mendedahkan beliau tetap berada dalam keadaan tenang apabila Thailand dihadiahkan sepakan penalti pada saat akhir dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 di sini, malam semalam.

Cheng Hoe berkata, beliau yakin sekiranya sepakan diambil penyerang prolifik Thailand, Adisak Kraisorn itu tidak melambung tinggi, penjaga gol negara Mohd Farizal Marlias tetap mampu menyelamatkan gawang meskipun berdepan tekanan di hadapan puluhan ribu penyokong tuan rumah.

Katanya, sebelum perlawanan di Stadium Nasional Rajamangala itu, beliau dan Farizal menumpukan lebih perhatian terhadap corak sepakan pemain skuad ‘Gajah Perang’ berkenaan.

“Saya masih tenang dan yakin pada waktu itu kemungkinan besar Farizal akan menyelamatkan sepakan penalti kerana kita ada belajar cara mereka mengambil penalti. Sebab itu saya yakin Farizal boleh buat sesuatu,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu di sini, semalam.

Sepakan penalti dihadiahkan pengadil dari Jordan, Adham Mohammad Tumah Makhadmeh pada masa tambahan babak kedua itu berpunca selepas pemain pertahanan, Muhammad Syahmi Safari melakukan kesilapan dalam kotak penalti.

Keputusan pengadil tersebut juga melenyapkan seketika sokongan padu kira-kira 3,000 penyokong tanah air yang hadir ke stadium berkenaan, kerana keputusan 2-2 pada masa itu sudah cukup untuk membawa Malaysia ke pentas final selepas kali terakhir pada 2014.

Bagaimanapun, sepakan penalti diambil Adisak Kraisorn melambung tinggi melewati palang sekali gus menyaksikan kedudukan 2-2 kekal sehingga wisel penamat.

Sementara itu, Cheng Hoe memuji barisan anak buahnya selepas menampilkan aksi terpuji pada babak pertama selain menyifatkan disiplin tinggi ditonjolkan meskipun ketinggalan dua kali adalah kunci utama kejayaan malam semalam.

“Pada 45 minit pertama perlawanan, barisan pemain beraksi dengan sangat baik dengan menyerap segala tekanan kerana kita tahu bermain di sini bukanlah mudah.

“Separuh masa kedua pula, pemain berjaya menjelmakan segala taktikal serta perancangan dan mereka juga menunjukkan disiplin cukup tinggi sehingga perlawanan berakhir,” katanya.

Menanti Malaysia pada aksi final pertama dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan, adalah antara Filipina dan Vietnam. - Bernama