PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) kini memburu jurulatih baharu selepas memutuskan untuk tidak menyambung kontrak E. Evalarasan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
   
Perkara itu antara beberapa langkah yang diambil oleh PBNST bagi memantapkan pasukan, kata Yang Dipertua PBSNT Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid kepada pemberita di sini hari ini.
   
Selain itu katanya, PBSNT juga akan meningkatkan persefahaman antara Terengganu dan T-Team bagi membolehkan kedua-dua pasukan memperbaiki prestasi musim depan.  
   
Beliau berkata antara persefahaman yang dirancang ialah pertukaran pemain membabitkan kedua-dua pasukan.
   
Katanya setakat ini Terengganu merancang untuk mengekalkan beberapa muka lama antaranya Manaf Mamat, Ahmad Nordin Alias, Asha'ari Shamsudin dan Ismail Faruqi Ashaari serta pemain import Vincent Bikana.
   
Terengganu juga mengenal pasti empat pemain dari Croatia untuk diuji, katanya. - Bernama