MELAKA United menyasar untuk menamatkan saingan pusingan pertama  Liga Perdana dalam kelompok empat  teratas bagi membolehkan pasukan  berkenaan melayakkan diri ke Piala Malaysia 2016.

Pengurus pasukan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, Melaka United tidak  mempunyai pilihan lain selain menamatkan saingan pusingan pertama di antara pasukan teratas liga bagi membolehkan mereka melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia.

Sehubungan itu, katanya, cabaran berat menanti Ketua Jurulatih, Mat Zan Mat Aris, bagi memastikan misi berkenaan berjaya dicapai dalam musim pertama Melaka United bersaing dalam Liga Perdana.

"Kalau kita terlepas kedudukan ini, walaupun kita menamatkan musim 2016 di tempat kedua, kita tetap akan gagal ke Piala Malaysia.

"Kita sudah memulakan persediaan dari bulan Oktober lagi. Sebab itu kalau hendak dikira dari persediaan pasukan, kita sepatutnya sudah bersedia," katanya semasa pelancaran jersi baharu Melaka United dan penyampaian tajaan dari pihak penaja di sini malam tadi.

Majlis yang disempurnakan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa) yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, turut menyaksikan pelancaran edisi pertama majalah bola sepak Melaka, Amuk Jebat.