MARCERRA United mengalami kekalahan pertama saingan Liga Super Kuala Lumpur 2017/18 apabila tewas 0-1 kepada Tentera Darat FA di Padang Bola Sepak Batu Kentomen B, petang kelmarin.

Turun dengan misi meneruskan rentak dua kemenangan sebelum ini, barisan pemain Marcerra United ternyata gagal mengimbangi corak permainan keras dan pantas tuan rumah.

Bagi pengendali Marcerra United, Baharuddin Wahab, sedikit kesilapan benteng pertahanan diawal permainan nyata meranapkan impian untuk membawa keputusan positif.

“Gol awal tuan rumah berpunca kelekaan pertahanan yang membiarkan pemain lawan melakukan tandukan tanpa diberikan saingan, mungkin pemain masih tercari-cari rentak ketika ini.

“Walaupun ketinggalan, pemain menunjukkan semangat juang memburu gol penyamaan, namun ketumpulan jentera serangan menafikan impian meraih sekurang-kurangnya satu mata.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati aksi pemain, masih ada masa memperbaiki kelemahan dan yakin masalah ini akan diatasi pada perlawanan seterusnya,” katanya ditemui selepas perlawanan.

Pada perlawanan tersebut, tuan rumah merobek gol pelawat hasil tandukan Mohd Taufik minit kelapan menewaskan penjaga gol Marcerra United, Mohamad Jailani Abdullah.