NAIB juara Liga Super 2016 dan juara Piala FA tiga kali, Felda United dan Kuala Lumpur, berdepan laluan getir pada aksi pusingan kedua Piala FA 2017.

Pada majlis undian yang berlangsung hari ini, Felda United akan bertemu juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) manakala Kuala Lumpur akan berdepan juara Piala Malaysia 2016, Kedah.

Juara Liga Perdana 2016, Melaka United pula akan melayan kunjungan kelab bola sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC).

Bagi pusingan pertama pula menyaksikan pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC), Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDMM FC) dan Majlis Perbandaran Kota Bahru (MPKB-BRI U-BES FC), masing-masing layak ke pusingan kedua selepas mendapat 'bye'.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Kapten Mohd Fahmi Yahya mengakui pertemuan antara JDT dan Felda United adalah seimbang, namun JDT akan membuat yang terbaik pada perlawanan itu.

"Undian seimbang, namun kita telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi saingan musim depan, jadi kita akan mempamerkan aksi terbaik apabila bertandang ke sana nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis undian tersebut, hari ini.

Saingan Piala FA 2017 bakal menyaksikan persaingan antara 35 pasukan daripada Liga Super, Liga Perdana dan Liga FAM.

Bagaimanapun, saingan Piala FA musim depan, akan bermula dengan pusingan pertama yang membabitkan 13 pasukan daripada Liga FAM.

Dalam undian itu, tiga daripada 13 pasukan mendapat 'bye' manakala 10 pasukan lagi terpaksa bersaing secara kalah mati pada 5 Februari depan untuk  melangkah ke pusingan kedua. - Bernama